Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran berkata, kebimbangan semakin meningkat apabila masih terdapat kedai yang berdekatan dengan sekolah yang menjual vape secara terbuka dengan pembungkusan yang menarik perhatian remaja.
"Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan komitmennya untuk memastikan vape tidak diedarkan di sekolah.
"Saya bersetuju dengan pendirian tersebut, namun saya terkejut apabila mendapati kedai-kedai serbaneka, hanya 500 meter dari sekolah, menjual vape dengan pembungkusan yang menarik dan direka secara estetik.
"Rekaan ini jelas mampu menarik perhatian golongan muda, mendorong mereka untuk mencuba, terutamanya bagi yang pertama kali melihatnya di kedai serbaneka atau runcit.
"Soalan saya ialah bagaimana Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan vape atau e-cigartte ini di jual di kedai 24 jam dan kedai-kedai runcit yang turut menjual coklat dan barangan makanan ringan?," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Sabtu.
Memetik kajian Pusat Racun Negara pada 2023, Sivaraj berkata, tinjauan terhadap 704 premis dalam lingkungan dua hingga lima kilometer dari sekolah mendapati 259 (36.8 peratus) adalah kedai runcit tempatan, 245 (34.8 peratus) adalah kedai serbaneka 24 jam, dan 49 (7 peratus) adalah stesen minyak yang menjual produk vape dan rokok elektronik.
Menurutnya, ia menunjukkan betapa mudahnya akses remaja terhadap produk berbahaya itu.
"Sehubungan itu, saya menggesa KKM untuk bertindak segera dalam menghentikan penjualan vape di premis yang sering dikunjungi golongan muda.
"Pihak berwajib disaran mengambil langkah tegas bagi memastikan generasi muda tidak terjebak dalam tabiat penggunaan vape yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan," ujarnya.
Selain itu, kerajaan juga diseru untuk melaksanakan Dasar Generasi Penamat Rokok (GEG) secara menyeluruh dan holistik bagi menoktahkan gejala merokok dan penggunaan vape dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi akan datang.
Langkah itu kata Sivaraj, bukan sahaja penting untuk melindungi kesihatan awam, tetapi juga bagi memastikan masa depan generasi muda bebas daripada bahaya ketagihan nikotin. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat serta kempen kesedaran yang lebih agresif perlu diperhebatkan bagi menangani isu ini secara menyeluruh.
"Semasa pentadbiran Khairy Jamaluddin (di KKM), inisiatif GEG diperkenalkan sebagai langkah holistik untuk melindungi generasi akan datang daripada bahaya merokok dan kesan buruk yang seumpamanya.
"Namun, keputusan KKM selepas era KJ untuk tidak meneruskan agenda GEG amat mengejutkan. Sebaliknya, lebih banyak ruang diberikan kepada pengeluar dan pengedar vape, yang kesannya terhadap kesihatan dipercayai lebih buruk berbanding rokok," tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan di Dewan Rakyat, dasar GEG digugurkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok dan Kesihatan Awam 2023 disebabkan isu Perlembagaan.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)