Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata untuk itu, pihaknya memerlukan sedikit masa lagi untuk melakukan libat urus dengan teliti sebelum satu penyelesaian tuntas dapat diumumkan.
"Bagi kami, kepentingan pengguna, petani, pengilang dan pengedar, semua ini perlu dijaga kerana mereka ada peranan masing-masing sebab itu kita sedang buat libat urus dengan lebih panjang.
"Kita juga akan berbincang bersama Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dengan persetujuan beliau, kita akan buat perubahan diperlukan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2024 di sini hari ini.
Mohamad berkata perbincangan bersama Perdana Menteri itu akan dimulakan seawal minggu pertama persidangan Parlimen tahun ini, selain menyatakan kesediaan untuk menjawab segala persoalan yang timbul mengenai isu berkenaan pada persidangan itu nanti.
"Kita akan cuba mencari jalan untuk memuaskan semua pihak, kalau tuntutan padi misalnya, harga sepatutnya ditetapkan setakat mana, bagaimana berlaku kenaikan harga beras, bagaimana dengan B40, semua ini akan dibincangkan bersama NACCOL," katanya.
-- BERNAMA