Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI meluluskan pembinaan 44 sekolah iaitu paling banyak dalam tempoh empat tahun terkini.
"Saya kongsikan pembinaan sekolah yang diluluskan dalam belanjawan mengikut tahun bagi empat tahun terakhir iaitu 2025 sebanyak 44 buah, 2024 (26) dan masing-masing sembilan buah bagi tahun 2023 dan 2022.
"Jika dilihat data itu, dua tahun terakhir kerajaan telah berusaha meningkatkan pembinaan sekolah baharu bagi memenuhi keperluan dan menangani isu sekolah padat terutamanya di kawasan bandar serta pelbagai lagi usaha dijalankan oleh Kementerian Pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Dewan Chong Kuang di Sungai Bakap di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar dan barisan kepimpinan parti kerajaan Perpaduan.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal mengulas berhubung rungutan ibu bapa di laman sosial yang mendakwa jumlah murid darjah satu yang ramai sehingga 50 orang dalam satu-satu kelas di beberapa sekolah di bandar.
Mereka mendakwa ia sesuatu yang membimbangkan kerana terlalu ramai murid dalam kelas dan akan memberi kesan kepada sesi pembelajaran.
Fadhlina berkata KPM mengambil perhatian penuh berhubung perkara itu terutama dari segi kondusi dan suasana murid-murid serta guru yang terlibat serta memberi jaminan tindakan bersesuaian akan diambil segera antaranya menempatkan mereka di sekolah lain.
Beliau juga memohon kerjasama ibu bapa terlibat agar mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah berdasarkan kepada unjuran-unjuran yang telah dilakukan.
Sementara itu, Fadhlina berkata kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal dikaitkan dengan GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) di seluruh negara akan mengikuti pendidikan di sekolah kebangsaan apabila sesi persekolahan bermula 17 Feb ini.
Beliau berkata mereka sebelum ini mengikuti kelas-kelas khas dikendalikan KPM sepenuhnya di tempat perlindungan yang ditetapkan.
"Sebenarnya, dalam perkara ini kita masih lagi mendapatkan dan mengumpulkan data tersebut memandangkan pada sesi yang lepas, kita hentikan sebentar (kelas khas) untuk mereka kerana meneruskan kes-kes mereka di mahkamah.
"Jadi sebaik sahaja selesai proses itu (kes mahkamah) semua saya ingat mereka tiada masalah untuk ke sekolah dan teruskan sesi persekolahan," katanya.
-- BERNAMA