Beliau berkata tender bagi projek yang mempunyai 164 unit pelbagai kelas itu akan dimulakan pada tahun ini dan dijangka mengambil dua atau tiga tahun untuk dibina.
"Pembinaan ini adalah usaha kita untuk meningkatkan kesejahteraan serta keselesaan anggota kita selain menghargai sumbangan mereka. Selain itu, kita juga memperuntukkan RM9.2 juta bagi penyelenggaraan RKAT 2025 di Pangkalan Udara Butterworth.
"Ada yang akan diperbaiki, atau unit-unit yang dulu satu bilik, kita pecah dua jadi satu rumah dan tambah bilik supaya ada keselesaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.
Mohamed Khaled memaklumkan Kerajaan Perpaduan mengambil berat kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), justeru peruntukan besar diagihkan bagi penyelenggaraan RKAT sejak pembentangan Belanjawan 2023 dan ia diteruskan hingga tahun ini.
Beliau berkata RM420 juta juga diperuntuk kepada 90 kem ATM di seluruh negara tahun ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled meninjau pelaksanaan Projek Local Planned Maintenance 12 Years (LMP12Y) dan diberikan taklimat oleh Pengarah Urusan G7 Global Aerospace di Hangar Hornet Readiness Centre (HRC).
Beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan RM500 secara sekali bayar kepada 20 pesakit kronik yang terdiri daripada anggota serta ahli keluarga sebagai usaha Kementerian Pertahanan untuk meringankan beban warga tentera yang memerlukan.
Turut hadir Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan timbalannya Lt Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
-- BERNAMA
