KUALA LUMPUR: Kerajaan memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman seorang pesara berhubung pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016 berkuat kuasa mulai Januari 2022.


Ringkasan AI
  • Kerajaan memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pelarasan bayaran pencen kepada pesara.
  • Pembayaran tunggakan pencen dianggarkan melibatkan RM1.7 bilion dan memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
  • Keputusan ini memberi kesan kepada penyelarasan pencen dan memerlukan proses pengiraan semula oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).


Kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam memfailkan permohonan itu hari ini di Mahkamah Tinggi di sini, atas alasan wujud keadaan khas yang mewajarkan perintah itu digantung sehingga rayuan mereka di Mahkamah Rayuan diputuskan.

Berdasarkan afidavit sokongan diperoleh media, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata perintah itu yang melibatkan pembayaran tunggakan pencen dianggarkan RM1.7 bilion mulai Januari 2022, bukan sahaja perlu dibayar kepada pemohon-pemohon (Aminah Ahmad dan 56 pesara perkhidmatan awam), malah kepada 531,976 pesara.

Wan Ahmad Dahlan berkata pembayaran tunggakan pencen itu melibatkan implikasi kewangan yang besar dan kerajaan perlu menyusun semula perancangan dana yang telah diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur negara, sosial serta ekonomi mengikut nasihat Kementerian Kewangan bagi membolehkan dana disalurkan kepada Kumpulan Wang Persaraan demi memenuhi perbelanjaan luar jangka yang berbangkit daripada perintah mahkamah itu.

"Tambahan pula, proses penyelarasan pencen yang melibatkan sebanyak 531,976 pesara ini perlu diuruskan oleh 18 pegawai di Bahagian Pencen serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan bantuan pegawai operasi di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

"Proses penyelarasan pencen ini akan memberi kesan kepada pelaksanaan tugas hakiki iaitu urusan persaraan bagi bakal pesara dan isu-isu berkaitan hal ehwal persaraan oleh pihak JPA," katanya dalam afidavit itu.

Wan Ahmad Dahlan berkata pengiraan tunggakan penyelarasan pencen adalah proses yang panjang serta rumit memandangkan pengiraannya memerlukan pihak JPA menyemak semula secara manual rekod perkhidmatan pesara terdiri daripada pelbagai gred jawatan dan skim perkhidmatan yang telah bersara pada atau sebelum 1 Julai 2016 dan masih menerima pencen pada Januari 2022.

"Pihak JPA juga perlu menentukan pesara yang layak menerima pencen yang diselaraskan pada Januari 2022," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak JPA juga perlu membuat pengiraan semula bagi menyelaraskan pencen selepas 2024 lanjutan daripada semakan gaji yang telah diumumkan oleh kerajaan untuk 2024 bagi pesara yang telah bersara pada atau sebelum 1 Julai 2016.

"Ia memandangkan jumlah pencen yang akan diterima selepas 2024 akan berubah berdasarkan penyelarasan pencen yang perlu dilakukan lanjutan daripada keputusan Mahkamah Tinggi ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata sekiranya rayuan memihak kepada kerajaan, tindakan kutipan balik tunggakan pencen yang telah dibayar akan memakan masa, kos dan tenaga memandangkan semua proses yang telah dilakukan untuk menyelaraskan pencen sebagaimana arahan mahkamah harus diubah termasuk penyelarasan pencen bagi 2024.

"Sekiranya pesara enggan mengembalikan tunggakan pencen yang telah dibayar, responden-responden (kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) perlu memfailkan tindakan di mahkamah bagi tujuan mengutip semula tunggakan pencen yang telah dibayar dah tindakan ini secara tidak langsung akan memakan masa dan mewujudkan kos tambahan kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi pemberita mengesahkan mengenai permohonan penggantungan itu.

Pada 16 Jan lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh yang membenarkan permohonan semakan kehakiman itu turut mengarahkan kerajaan dan JPA membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula tarikh penghakiman itu (16 Jan).

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, memohon perintah mandamus bagi memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan dibuat di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Beliau yang memfailkan permohonan itu atas kapasiti sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam turut memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayar melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

-- BERNAMA