Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini membangkitkan mengenai SEGiM agar ia menjadi badan kawal selia utama dalam memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan.
"Mungkin yang kita harapkan ialah keserasian antara matlamat menubuhkan satu SEGiM dengan RUU Pekerja Gig dan (sebelum ini) Kabinet telah meminta supaya Menteri Sumber Manusia (Steven Sim) untuk meneliti dan mengadakan sesi libat urus yang lebih meluas.
"Jadi, kita berhasrat untuk memastikan kedua-dua perkara berkenaan terselaras," katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) SEGiM menyarankan Jemaah Menteri menimbang dan meluluskan penubuhan suruhanjaya berkenaan bagi memberi tumpuan kepada komponen kritikal dalam model ekonomi gig dan aspek yang memerlukan pengawalseliaan.
Ahmad Zahid berkata SEGiM akan memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan kepentingan penyedia platform, pekerja gig, pengguna serta semua pihak berkepentingan, memastikan hak mereka dilindungi melalui penguatkuasaan dasar yang telus, pemantauan standard perkhidmatan serta pemerkasaan kawal selia kendiri dalam industri gig.
- BERNAMA
