Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata pertimbangan itu dibuat mengambil kira kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklum balas berhubung siasatan kes serangan asid terhadap pemain kebangsaan itu yang telah menjangkau 10 bulan.
Beliau berkata kali terakhir kerajaan negeri menerima maklum balas berhubung kes itu adalah pada November lepas daripada Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan yang memaklumkan kes berkenaan diambil alih pasukan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
"Sejak itu, polis masih belum memberi maklum balas terkini perkembangan insiden malang yang menimpa Faisal Halim.
Beliau mengulas perkembangan siasatan kes tersebut susulan surat yang dihantar Speaker Lau Weng San kepada pihak berkuasa berkenaan selepas DUN Selangor meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap Muhammad Faisal pada Julai tahun lepas.
Mohd Najwan berkata cadangan untuk membangkitkan usul itu adalah bagi mendapatkan jawapan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkembangan terkini siasatan kes yang mendapat perhatian umum itu.
"Saya percaya kes ini masih dalam siasatan tetapi ia perlu dipercepat agar maklum balas terhadap pelbagai persoalan berkaitan kejadian menimpa Faisal dapat dirungkai," katanya.
Pada 5 Mei tahun lepas, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 27 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, dekat sini menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)