SHAH ALAM: Pas menegaskan kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain semata-mata atau sekadar membuat penafian untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dalam isu keharmonian masyarakat.


Ringkasan AI
  • Pas menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh menyalahkan pihak lain atau membuat penafian semata-mata, tetapi perlu mengambil tindakan tegas, telus, dan adil untuk mengelakkan persepsi buruk dan ketegangan dalam masyarakat.
  • Pas menyokong penegasan Perdana Menteri mengenai kepentingan menjaga hubungan baik antara kaum dan mengelakkan eksploitasi isu agama dan perkauman untuk kepentingan peribadi.
  • Pas konsisten dengan pendirian bahawa Islam sebagai agama Persekutuan perlu dimartabatkan, dan kerajaan harus memastikan semua anggotanya menghormati sensitiviti kaum dan agama untuk mengelakkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.


Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tanpa tindakan tegas, telus serta adil, persepsi buruk terhadap kerajaan akan terus memburuk dan memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk mencetuskan keadaan lebih tegang.

"Suasana tidak harmoni yang terbentuk akan menjadi tanah subur kepada pihak tertentu untuk menabur angin yang berpotensi menjadi badai lebih ganas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pas turut menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kepentingan menjaga hubungan baik antara kaum dan mengelakkan eksploitasi isu agama serta perkauman untuk kepentingan peribadi.

Menurut Takiyuddin, Pas konsisten dengan pendirian bahawa Islam sebagai agama Persekutuan perlu dimartabatkan, selari dengan dasar parti yang menekankan sikap saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum.

"Tindakan tegas harus diambil terhadap mana-mana pihak yang mencabar kedudukan Islam, bidang kuasa pihak berkuasa agama serta kepentingan umat Islam. Kegagalan kerajaan bertindak hanya akan mencetuskan konflik dan ketegangan," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan memastikan semua anggotanya mematuhi prinsip menghormati sensitiviti kaum dan agama bagi mengelakkan timbulnya ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.

"Persepsi negatif terhadap keazaman politik kerajaan dalam mempertahankan kedudukan Islam serta kesediaan bertindak tegas ke atas anggota sendiri yang melanggar prinsip ini bukanlah sesuatu yang tidak berasas," tegasnya.

Sehubungan itu, Pas mengulangi meminta agar kerajaan bertindak segera dengan penuh keadilan dan ketegasan dalam menangani isu-isu berkaitan keharmonian masyarakat. -- Sinar Harian