Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata langkah tersebut, merupakan antara usaha berterusan kementerian itu dalam menguruskan sisa berkenaan dengan lebih lestari.
Beliau berkata kawalan dan penguatkuasaan perundangan sedia ada ketika ini hanya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukan satu dasar yang menyeluruh.
"Sekarang kita banyak bergantung kepada undang-undang atau peraturan di peringkat PBT, itu sahaja tidak cukup. Sebab itu kita sedang melihat dalam RMK13 nanti sama ada kita boleh (laksanakan) atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kapal Pengumpulan Sisa Mobula 8, di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata masalah pencemaran daripada sisa plastik juga akan dibincangkan sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Beliau berkata selain Malaysia, Indonesia dan Filipina mula berdepan dengan masalah kemasukan sisa plastik daripada luar, sejak China mengetatkan peraturan menghentikan pembelian hampir semua sisa plastik pada Jan 2018.
"Jadi, isu ini kita akan bincang di peringkat ASEAN juga kerana masalah (pencemaran sisa plastik) bukan hanya masalah Malaysia sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi mengalu-alukan sumbangan Kapal Pengumpulan Sisa Mobula 8 oleh The SeaCleaners, iaitu badan bukan kerajaan (NGO) dari Switzerland kepada Marine Research Foundation sebagai inisiatif mengurangkan impak terhadap pencemaran plastik yang serius di negara ini.
Beliau berkata kapal tersebut akan ditempatkan di Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat.
"Ia satu usaha yang baik dalam mengatasi masalah pencemaran marin dan ketika ini, inisiatif sama turut dilaksanakan oleh NGO The Ocean Cleanup dengan kerajaan Selangor bagi pembersihan Sungai Klang," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)