KUALA LUMPUR: Polis sedang giat memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes serangan dan ugutan terhadap seorang pengawal keselamatan wanita di Bandar Puteri Puchong.

Kejadian tersebut tular menerusi satu video berdurasi 4 minit 29 saat di media sosial Facebook, memaparkan seorang wanita dipukul oleh seorang lelaki di pondok pengawal keselamatan. 

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia 32 tahun, pada 1.30 petang, pada Rabu.

Katanya, mangsa mendakwa, insiden berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam Selasa lepas, ketika dia sedang bertugas di pondok pengawal keselamatan sebuah pangsapuri. 

“Suspek yang dikenali mangsa telah datang ke pondok tersebut dan meluahkan perasaan cinta kepadanya.

"Namun, mangsa menolak kerana sedang dalam proses perceraian.

"Suspek kemudian berang dan cuba mencederakan mangsa di leher menggunakan pisau lipat tetapi sempat ditepis,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.

Anbalagan berkata, sekitar jam 3.30 pagi hari yang sama, suspek kembali ke lokasi kejadian dan bertindak lebih agresif dengan menumbuk kepala serta mencekik leher mangsa sebelum dilerai oleh rakan sekerja mangsa.

"Suspek juga dilaporkan mengugut akan membunuh mangsa. 

“Sehubungan itu, pihak polis sedang berusaha mengesan dan menahan suspek," tegasnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 atas kesalahan mencederakan menggunakan senjata, ugutan jenayah, dan membawa senjata berbahaya di tempat awam.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-80742222.