TAWAU: Seorang wanita warga emas lupa mematikan enjin dan menukar gear parkir ketika berhenti membawa padah, apabila keretanya merempuh sebuah kedai di Lorong Bintang, Batu 3 Jalan Apas, di sini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, pemandu wanita berusia 62 tahun bersama seorang penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada jam 8 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati seorang wanita warga emas yang memandu kereta jenis Proton Saga parkir di hadapan kedai Ekonomic Market di Lorong Bintang tanpa mematikan enjin.

Apabila turun dari kenderaan berkenaan, wanita terbabit terlupa menukar gear parkir dan mengakibatkan keretanya bergerak dan merempuh sebuah premis kedai di kawasan tersebut.

Namun, kemalangan itu hanya mengakibatkan kerosakan kenderaan sahaja tanpa melibatkan sebarang kecederaan terhadap pemandu dan pekerja kedai berkenaan.

Akibat daripada rempuhan itu juga telah merosakkan pintu kaca hadapan dan sebahagian barang-barang di dalam kedai berkenaan.

Jasmin berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tanpa kecermatan hingga menyebabka kemalangan.