MELAKA: Kerja-kerja menaik taraf Jalan Tun Hamzah di sini daripada dua lorong kepada empat lorong yang melibatkan laluan sepanjang 4.5 kilometer dijangka bermula pada November ini melibatkan kos sebanyak RM300 juta.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pembinaan itu membabitkan laluan bermula dari Persimpangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke Persimpangan Semabok Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

"Proses reka bentuk telah siap sepenuhnya manakala tender untuk pembinaan akan bermula pada Mei, dan (pembinaan) dijadualkan bermula pada November tahun ini. Projek ini juga dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dengan peruntukan yang diluluskan kerajaan pusat melalui Jabatan Kerja Raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam segmen "Temu Bual Eksklusif Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R)" di konti MELAKA fm di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hameed berkata projek naik taraf jalan berkenaan dilihat akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Lebuh Ayer Keroh terutamanya pada waktu puncak selain mengurangkan kenderaan di dalam bandar menerusi laluan pinggir bandar yang bakal dinaik taraf itu.

Beliau berkata ia juga membolehkan pengunjung dari luar Melaka membuat lencongan masuk ke Persimpangan Seri Negeri melalui jalan persekutuan itu ke Semabok seterusnya ke Banda Hilir.

Dalam pada itu, katanya kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membina jalan baharu sepanjang 3.5 kilometer dari Pekan Merlimau Utara ke Kampung Merlimau Pasir (Batu Gajah) yang kini dalam peringkat proses reka bentuk.

Mengenai perkembangan lain, Hameed berkata paras air di tiga empangan utama di Melaka melebihi 90 peratus setakat ini dan dijangka negeri itu tidak berdepan masalah gangguan bekalan air pada Ramadan dan Syawal meskipun cuaca panas dan kering pada masa ini.

"Jika berlaku masalah bekalan, ia mungkin disebabkan gangguan luar jangka, seperti paip pecah yang kerap terjadi berikutan saluran paip di negeri ini yang telah berusia hampir 40 tahun," katanya.

Hameed berkata hasil pemantauan rapi oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), terdapat sepanjang 1,170 kilometer paip jenis Asbestos Cement (A.C) yang perlu ditukar kerana ia sudah terlalu lama dan tidak relevan untuk diguna pakai.

"Bagaimanapun, ia memerlukan peruntukan yang besar daripada kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri turut mengambil langkah menerusi SAMB dengan menjalankan kerja penukaran paip secara dalaman dan mendapatkan suntikan dana daripada kerajaan pusat terhad untuk menyelesaikan masalah paip air yang selalu bocor dan pecah," katanya.

-- BERNAMA