Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sepang telah menahan pelawak berkenaan pada 14 Disember lalu.
“Pihak polis telah menjalankan siasatan tersebut secara telus dan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Pada 19 Disember, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 6 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, pelawak itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sepang pada hari ini untuk pertuduhan.
Sasikala turut menegaskan bahawa sebarang dakwaan tidak sahih boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai diingatkan untuk tidak menyebarkan kandungan yang tidak sahih,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan isteri kepada Along Cham yang mendakwa dia dipaksa oleh seorang anggota polis untuk menukar kenyataan dalam laporan berhubung penahanan suaminya.
Terdahulu, Along Cham disahkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan menerima arahan pertuduhan di Mahkamah Sepang.