ALOR SETAR: Seorang pengawal keselamatan yang mempunyai sejarah penyakit mental diperintahkan menjalani penilaian psikiatri selama sebulan selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya minggu lalu.


Ringkasan AI
  • Abd Rahman Harun, seorang pengawal keselamatan dengan sejarah penyakit mental, didakwa membunuh ibunya di Kampung Bok-Bok, Derga, dan diperintahkan menjalani penilaian psikiatri selama sebulan.
  • Kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, dan tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 10 April untuk keputusan penilaian psikiatri.
  • Suspek didakwa membunuh dan membakar mayat ibunya. Dia disahkan menghidap penyakit mental sejak Disember 2019 dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


Tertuduh, Abd Rahman Harun, 43, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Isah Salleh, 70, di rumah mereka di Kampung Bok-Bok, Derga, antara jam 7 hingga 8 pagi pada 2 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Huda Diyanah Amir Hamzah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nur Huda memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sehubungan itu, beliau memohon supaya tertuduh dihantar menjalani penilaian psikiatri selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan tertuduh akan dihantar ke Hospital Hulu Kinta, Perak, untuk pemeriksaan pada 11 Mac ini.

Tiada jaminan dibenarkan bagi kesalahan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 April depan untuk keputusan penilaian psikiatri.

Terdahulu, media melaporkan suspek didakwa membunuh ibunya sebelum membakar mayatnya di dalam rumah mereka di Kampung Tok Keling, pada 2 Mac lalu.

Polis menerima laporan mengenai kejadian selepas penduduk mendengar bunyi kecoh di rumah berkenaan.

Suspek ditahan di lokasi kejadian selepas didapati bertindak agresif.

Pemeriksaan lanjut di rumah itu menemui mayat rentung, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Siasatan turut mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Difahamkan, dia disahkan menghidap penyakit mental sejak Disember 2019.