SEPANG: Satu pasangan warga China dijatuhi hukuman denda masing-masing RM5,000 setelah mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kekecohan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.


Ringkasan AI
  • Pasangan warga China dijatuhi hukuman denda RM5,000 setiap seorang dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, kerana melakukan kekecohan di KLIA Terminal 2.
  • Mereka didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam dengan membuka baju.
  • Peguam tertuduh merayu hukuman denda minimum, tetapi Timbalan Pendakwa Raya menegaskan hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran.


Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menjatuhkan hukuman terhadap Xu Jianfeng, 27, dan isterinya Shi Qian, 28 selepas pasangan itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan, yang dibacakan dalam bahasa Mandarin kepada mereka oleh penterjemah.

Kedua-dua mereka juga diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, ketika berada di Gate Q5 KLIA Terminal 2 pasangan itu dengan sengaja mendatangkan kegusaran orang lain dengan melakukan perbuatan lucah di tempat awam dengan cara membuka baju.

Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu peguam tertuduh Chew Sin Yee merayu hukuman denda minimum memandangkan tertuduh insaf atas perbuatan mereka serta meminta maaf.

Peguam tertuduh juga memohon hukuman ringan memandangkan tertuduh tidak mengganggu sesiapa ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya berkata tertuduh perlu dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran agar menjaga tatatertib dan tidak melakukan perbuatan lucah di tempat awam yang menimbulkan kegusaran.

Pada 13 Feb lepas, media melaporkan pasangan warga China yang membuat kekecohan di pesawat yang hendak berlepas ke Jieyan Chaosan, China, di KLIA Terminal 2 pada 9 Feb lepas ditahan polis selepas mereka disahkan tidak mengalami sebarang masalah mental.

-- BERNAMA