JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat menetapkan 25 Februari sebagai keputusan permohonan penangguhan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang peniaga, Rosmaini Abd Raof, 42, yang menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya Jahidah Nordin@Sylvester, 47, sehingga koma, empat tahun lalu.

Perkara berkenaan diputuskan Hakim Abu Bakar Katar selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan Siti Fatimah Yahya dan peguam, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin, yang mewakili Rosmaini.

Permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara dibuat menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar dan diputuskan Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, peguam Kamal Hisham yang mewakili Rosmaini berhujah wujudnya keadaan istimewa atau khas supaya perintah penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu diberikan terhadap pemohon.

"Keadaan istimewa itu adalah kesalahan pertama pemohon selain terdapat persoalan undang-undang rumit iaitu percanggahan antara akuan bersumpah dan laporan polis oleh saksi pendakwaan yang perlu diputuskan mahkamah.

"Isu undang-undang ketiga adalah ketika perbicaraan kes ini di Mahkamah Sesyen tidak ada seorang pun saksi mata yang melihat bagaimana mangsa kes ini mendapat kecederaan parah, dikemukakan," hujahnya.

Sementara itu, Juanita berkata, keadaan yang dihujahkan peguam pemohon bukannya keadaan istimewa atau khas sebaliknya adalah keadaan biasa, yang sudah diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini.

"Mangsa dalam kes ini melahirkan bayinya dalam keadaan koma dan sehingga kini masih terlantar akibat kecederaan parah yang dialami.

"Kes ini telah menggoncang ketenteraman masyarakat dan ia masih diikuti orang ramai sehingga kini.

"Jika mahkamah menimbangkan ia kesalahan pertama pemohon tanpa melihat keseriusan kes ini, dibimbangi ia akan menyebabkan kemarahan masyarakat sekali gus merendahkan keyakinan mereka terhadap sistem kehakiman kita," hujahnya.

Pada 9 Disember lalu, Rosmaini dilaporkan dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah sehingga koma, tiga tahun lalu.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan di akhir pembelaan kes berkenaan terhadap Rosmaini, selepas perbicaraan berlangsung selama tiga tahun dengan 11 saksi pendakwaan dipanggil.

Hakim dilaporkan berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Kes Jahidah pernah menggemparkan negara sebelum ini kerana wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, di Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023. - Sinar Harian