Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata pihaknya turut melakukan tangkapan terhadap 26 individu, termasuk pemilik dan pengarah syarikat serta pegawai penguat kuasa.
"Kita percaya bahawa penguat kuasa yang kita tangkap ini, bertindak melindungi pusat pengumpulan e-sisa terlibat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Ahmad Khusairi berkata seramai 420 pekerja warga asing di tapak pelupusan e-sisa turut ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung kes tersebut.
Terdahulu, sebanyak 12 kilang sisa elektronik di Telok Panglima Garang, Selangor dan Buloh Kasap, Segamat, Johor diserbu melalui operasi bersepadu yang turut disertai JIM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Operasi itu susulan hasil risikan yang dipercayai terdapat pemilik syarikat dan pegawai dagang disyaki menyogok penguat kuasa untuk memproses dan melupus sisa elektronik yang tidak dibenarkan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
