KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan wang RM200 juta, dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dibicarakan serta didengar bersama.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan empat pertuduhan suapan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM200 juta terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dibicarakan bersama.
  • Pertuduhan melibatkan penggunaan kedudukan untuk suapan dan penerimaan hasil daripada aktiviti haram oleh Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden Bersatu.
  • Hukuman bagi pertuduhan ini termasuk penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, serta penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta.


Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan permohonan pendakwaan selaku pemohon, untuk menggabungkan kes-kes itu.

Menurutnya, permohonan pemohon telah memenuhi kriteria mengikut Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah (CPC), yang mana ia melibatkan satu siri perbuatan dalam transaksi dan individu yang sama.

“Ini juga dapat memastikan keadilan kepada semua pihak, menjimatkan masa dan mengelak kesukaran terutama kepada saksi-saksi yang serupa.

“Berikutan penggabungan perbicaraan ini, tiada sebarang prejudis akan berlaku kepada tertuduh, berkaitan kekeliruan untuk kemukakan pembelaan beliau,” katanya.

Beliau berkata, semua pertuduhan jelas menyatakan tertuduh yang didakwa atas kes tersebut malah pendakwaan memberitahu pendirian, bahawa undang-undang adalah mantap kerana mereka yang perlu membuktikan setiap intipati pertuduhan terbabit.

Menurutnya, selepas itu mahkamah akan membuat keputusan sama ada setiap intipati dalam pertuduhan berkenaan telah dibuktikan terhadap tertuduh atau sebaliknya.

Susulan itu beliau berkata, tiada isu kekeliruan untuk mengemukakan pembelaannya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan akan memanggil tidak lebih 30 saksi untuk memberi keterangan.

“Senarai saksi itu akan diberikan sebelum perbicaraan bermula dan saya mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes.

“Saya tidak membantah sekiranya Muhyiddin dikecualikan hadir pada sebutan kes tersebut,” katanya selepas pihak pembelaan memohon agar tertuduh tidak menyertai prosiding akan datang.

Azura kemudiannya menetapkan 18 Februari depan untuk penetapan tarikh perbicaraan.

Beliau turut membenarkan permohonan pembelaan untuk membatalkan pertuduhan AMLA kerana ia telah bersifat akademik.

Mengikut empat pertuduhan, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen ini membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, peguam, Datuk Seri K Kumaraendran dan Amer Hamzah Arshad hadir bagi pihak Muhyiddin. - Sinar Harian