IPOH: Seorang peguam hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pembantu rumah yang menjadi mangsa rogol bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong telah mengaku memberi keterangan palsu sebagai alasan untuk pulang ke negara asalnya, Indonesia.


Ringkasan AI
  • Pembantu rumah yang menjadi mangsa rogol bekas ADUN Tronoh, Paul Yong, mengaku memberi keterangan palsu sebagai alasan untuk pulang ke Indonesia.
  • Peguam Pathurrahman menasihati mangsa bahawa memberi keterangan palsu adalah kesalahan serius dan mangsa berhak menarik balik keterangannya di mahkamah.
  • Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Mac untuk menyediakan pandangan berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan, yang akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk digunakan ketika rayuan Yong.


Pathurrahman, 58, peguam yang beralamat di Sumbawa, Indonesia berkata demikian dalam keterangannya sebagai saksi pembelaan tambahan dalam kes itu.

Menurut Pathurrahman, mangsa telah datang ke pejabatnya pada 20 Mei 2024 untuk mendapatkan nasihat undang-undang dan menceritakan bahawa dia bekerja sebagai pembantu rumah dan telah membuat aduan dirogol oleh Yong.

"Mangsa selanjutnya menceritakan dia telah memberi keterangan terhadap Yong di Pengadilan Mahkamah Sesyen Malaysia.

"Mangsa kemudian membuat pengakuan kepada saya bahawa beliau telah memberi keterangan palsu terhadap Yong dan kini berhasrat untuk menarik balik keterangan tersebut," katanya yang membacakan pernyataan bertulisnya dalam bahasa Indonesia, yang kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

"Saya telah menasihati bahawa memberi keterangan palsu merupakan satu kesalahan yang serius.

"Saya selanjutnya menasihati beliau bahawa beliau berhak untuk menarik balik keterangan di mahkamah dan adalah lebih baik bercakap benar daripada seseorang yang tidak bersalah disabitkan kesalahan secara tidak adil," katanya.

Beliau berkata selepas mendengar nasihat berkenaan mangsa tanpa paksaan atau intimidasi telah bercadang untuk menarik balik keterangannya di Malaysia dan Pathurrahman diminta oleh mangsa untuk menyediakan satu surat pernyataan berkaitan dengan perkara tersebut.

Pathurrahman dalam pada itu turut membaca dan mengesahkan surat pernyataan bertarikh 21 Mei 2024 di mahkamah serta memaklumkan surat berkenaan dibuat atas arahan mangsa dan mempunyai tandatangan wanita itu.

Peguam berkenanaan berkata wanita terbabit telah menyesal atas perbuatannya dan memohon maaf atas keterangan palsu yang diberikan di Mahkamah Sesyen Malaysia.

Mangsa menerusi surat pernyataannya itu juga memaklumkan dia bertindak demikian kerana mencari alasan untuk pulang ke Indonesia sebelum tamat kontrak, namun keluarga Yong melarang dan meminta dia untuk memberikan alasan tepat untuk pulang.

Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Muhammad Zaki Abdul Kudos semasa pemeriksaan balas mempersoalkan kesahihan surat pernyataan mangsa dan mendakwa surat berkenaan bukan dibuat oleh wanita itu.

Bagaimanapun, Pathurrahman menafikan perkara itu dan menjelaskan surat pernyataan dalam bahasa Indonesia berkenaan dibuat berdasarkan keterangan mangsa.

Muhammad Zaki: Jadi saya katakan surat pernyataan ini adalah bukan dibuat oleh awang (mangsa) dan dibuat oleh bapak?

Saksi: Dibuat oleh saya tapi berdasarkan keterangan mangsa.

Muhammad Zaki: Sekiranya awang (mangsa) diganggu selepas pulang ke Indonesia kamu tidak tahu.

Saksi: Saya tidak tahu.

Muhammad Zaki: Jadi tidak mustahil awang (mangsa) diganggu selepas pulang ke Indonesia?

Saksi: Saya tidak tahu.

Muhammad Zaki: Jadi sebelum awang (mangsa) membuat pernyataan kamu tidak tahu situasi (mangsa)

Saksi: Saya tidak tahu.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Muhammad Zaki dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Qurratul Aini Khalifah, Liyana Zawani Mohd Razi dan Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Salim Bashir dan Low Wei Loke mewakili Yong.

Mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk menyediakan pandangan berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan dan pandangan itu akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk digunakan ketika rayuan Yong.

Pada 12 Nov 2024, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bekas ADUN Tronoh untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan kes merogol pembantu rumahnya.

Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lepas dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan Yong dan mengekalkan sabitan terhadap Yong atas kesalahan merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun dari Indonesia di dalam sebuah bilik, di rumahnya di Ipoh antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun serta dua sebatan.

-- BERNAMA