Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan memukul seorang lelaki OKU di pasar tani sebagai tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku. Beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya.
- Fahmi terkesan dengan kenyataan di media sosial yang menyatakan 'pengadilan atau menghukum tidak boleh diswastakan'. Beliau menegaskan bahawa tindakan sendiri tidak boleh diambil walau apa pun yang berlaku.
- Fahmi menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dengan kandungan di media sosial dan platform lain seperti WhatsApp, yang sering menjadi tempat penyebaran maklumat palsu atau tidak mempunyai konteks yang jelas.
Fahmi berkata beliau difahamkan individu yang terlibat kes berkenaan telah ditahan pihak polis.
"Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes berkenaan," katanya pada sidang media selepas bersarapan pagi bersama warga Kelab Media Kelantan di sini, hari ini.
Fahmi berkata beliau terkesan apabila ada yang menulis kenyataan di media sosial bahawa 'pengadilan atau menghukum tidak boleh diswastakan'.
"Saya amat terkesan dengan kenyataan itu, Walau apa pun yang berlaku, kita tidak boleh mengambil tindakan sendiri," katanya.
Pada 17 Jan, rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu tular di media sosial.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 47 tahun yang menunggang motosikal, terlanggar sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan untuk jualan terjatuh.
Selain itu, Fahmi turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dengan kandungan media sosial dan platform lain antaranya WhatsApp, yang sering menjadi lubuk sebaran termasuk maklumat palsu atau tidak mempunyai konteks atau yang boleh menimbulkan persepsi.
Beliau berkata masyarakat juga perlu sentiasa berwaspada, kerana komuniti di negara ini memanfaatkan WhatsApp Group untuk menghantar pelbagai mesej.
-- BERNAMA