SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan maklum balas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihatnya berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • SPRM akan mendapatkan maklum balas daripada DBKL mengenai dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta. Siasatan dalaman sedang dilakukan oleh DBKL.
  • Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, menyatakan bahawa SPRM akan menjalankan siasatan jika terdapat elemen jenayah seperti salah guna kuasa dan rasuah.
  • Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, mengesahkan kerjasama rapat dengan unit integriti DBKL dan sedang mengumpul maklumat serta bukti sebelum membuat laporan kepada SPRM.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, siasatan dalam berhubung perkara itu sedang dilakukan DBKL.

"Esok (Jumaat) pegawai saya akan hubungi Unit Integriti DBKL. Jika wujud elemen jenayah iaitu salah guna kuasa dan rasuah, kita akan jalankan siasatan.

"Kita tunggu dan lihat apa hasil siasatan dijalankan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Ahmad Khusairi, buat masa ini SPRM memberi masa pada DBKL melakukan jalankan siasatan dalaman.

Terdahulu, pada Rabu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa SPRM bersedia menyiasat sekiranya dapatan siasatan dalaman DBKL menunjukkan ada unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Sebelum itu, media turut melaporkan DBKL melakukan siasatan dalaman berhubung dakwaan terbabit.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilaporkan berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif bernilai RM4 juta yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.

Dimaklumkan, DBKL juga masih mengumpul maklumat dan bukti berhubung perkara itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya termasuk membuat laporan kepada SPRM.

Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial sejak Selasa. -Sinar Harian