Ringkasan AI
- Seorang penjenayah bersenjata dikenali sebagai Ah Boy maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Pulau Ketam, Klang. Suspek dipercayai menggunakan dadah jenis syabu sebelum melakukan jenayah.
- Suspek bergerak secara solo melakukan samun, rompak, dan curi untuk keperluan diri sejak setahun lalu. Dia juga terlibat dalam lima kes samun, pecah rumah, dan curi kenderaan di Banting dan Sekinchan selepas insiden tembakan di Setia Alam.
- Ujian darah mengesahkan suspek positif dadah jenis syabu. Suspek juga memiliki dua pucuk pistol semi automatik yang diperolehi secara haram dari dalam negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis mendapati suspek bergerak solo melakukan samun, rompak dan curi untuk keperluan diri sejak sekurangnya setahun lepas.
"Itu merupakan 'habit' dia (suspek).
"Selepas kejadian di Setia Alam (tembakan di pusat beli-belah), suspek terlibat lima kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan di Banting dan Sekinchan, Selangor.
"Suspek ini dipercayai mengambil dadah jenis syabu bagi memastikannya 'trigger happy' sebelum melakukan jenayah. Kesan penggunaan dadah itu menyebabkan dia berkelakuan sedemikian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.
Majlis itu menyaksikan Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor baharu menggantikan Datuk S Sasikala Devi yang bersara wajib selepas berkhidmat lebih 35 tahun.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, suspek tempatan ini juga pernah dikesan melakukan jenayah bersama dua hingga tiga rakan.
"Namun, dalam setahun dua ini, saya tegaskan kelakuan jenayahnya dilakukan seorang diri," ujarnya.
Beliau berkata, ujian darah juga mengesahkan suspek positif dadah jenis syabu.
"Berdasarkan rekod suspek terlibat dengan pengedaran dan penggunaan dadah selain pernah masuk penjara sebanyak dua kali dan keluar pada tahun 2019," katanya.
Menurut Hussein, dua pucuk pistol yang ditemui bersama suspek ketika berbalas tembakan dengan polis juga disahkan merupakan jenis semi automatik Sig Sauer dan Retay yang dipercayai diperolehi suspek secara haram dari dalam negara.
Katanya, proses bedah siasat suspek di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) juga telah selesai.
Sebelum itu, suspek yang bersenjatakan pistol telah melepaskan beberapa das tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam, 8 Februari, hingga menyebabkan seorang tukang cuci cedera.
Suspek yang diburu kemudian dikesan menghilangkan diri ke Melaka menaiki kenderaan e-hailing sebelum bergerak ke Banting dan sekitar Sabak Bernam. -- Sinar Harian
