Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar laporan siasatan awal disampaikan kepada Indonesia melalui kedutaan.
"Ini hanya berlaku kerana negara ini sahabat baik dan siasatan ini bila lengkap sepenuhnya akan diteliti juga oleh rakan-rakan kita di Indonesia.
"Saya beri jaminan dan tegaskan harus ada siasatan yang telus dan kedua-dua pihak harus ambil maklum tentang hasil siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Jamuan Teh Tahun Baharu Cina Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Kanthan Baru di sini pada Jumaat.
Anwar berkata, pihaknya tidak mahu isu tersebut mengganggu hubungan baik kedua-dua negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penguat kuasa Malaysia perlu mengikut undang-undang dalam menangani kemasukan PATI dan kegiatan penyeludupan di perairan negara ini.
Katanya, pihak berkuasa perlu bertegas untuk menghalang kegiatan seumpama itu daripada terus berlaku.
"Tetapi saya ingin beri jaminan tidak boleh melanggar hukum, tidak boleh melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.
"Saya harap kedua-dua pihak seperti mana disuarakan Presiden Indonesia dan saya, ikut jalur hukum, jangan ikut kemarahan melulu sehingga menjejaskan hubungan baik di antara kedua-dua negara," katanya.
Mengulas mengenai insiden Pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia dibaling telur oleh segelintir rakyat negara itu, Anwar meminta semua pihak bertenang dan menasihati rakyat di negara ini tidak membalas tindakan tersebut.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kejadian tersebut berlaku disebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab mahu menghangatkan suasana susulan insiden terbabit.
Sebelum ini, Indonesia menggesa Malaysia mengambil tindakan terhadap pegawai APMM, sekiranya terbukti mereka menggunakan kekerasan berlebihan rentetan insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting.
Memetik laporan Antara News, Timbalan Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Christina Aryani berkata, kerajaan Malaysia diminta menyiasat kejadian tembakan membabitkan pegawai penguat kuasa itu dengan lima rakyat berkenaan.
Polis Selangor kemudian mengesahkan terdapat provokasi dilakukan sekumpulan PATI warga Indonesia hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut manakala empat lagi cedera selepas ditembak pasukan penguat kuasa negara di perairan Tanjung Rhu, Banting.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, siasatan mendapati, terdapat kesan atau unsur bot dinaiki anggota APMM dilanggar dan siasatan ke atas bot PATI pula menemukan dua bilah parang manakala polis juga sudah merakam keterangan 14 anggota APPM.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian