Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes terbabit sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
"Ketika ini siasatan sedang dilakukan terhadap beberapa akaun yang digunakan dalam penipuan ini namun setakat ini tiada sebarang tindakan pembekuan akaun di bawah Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ramli berkata seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang ditahan sebelum ini telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan perniagaan yang tidak wujud di negeri itu.
Beliau berkata semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh kes penipuan di lima negeri melibatkan kerugian keseluruhan RM161,355.
Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun berhubung dakwaan kes penipuan bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah membabitkan suaminya.
Mangsa dilaporkan bertemu seorang wanita berusia 28 tahun pada Disember tahun lepas bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya dan ditawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan di mahkamah.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)