KUALA LUMPUR: Polis telah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes penipuan tawaran bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah membabitkan isteri kepada seorang pelawak.


Ringkasan AI
  • Polis menahan sepasang suami isteri di Salak Tinggi, Sepang, bagi membantu siasatan kes penipuan tawaran bantuan menukar seksyen hukuman di mahkamah yang melibatkan isteri seorang pelawak.
  • Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan bahawa permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Kajang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
  • Mangsa, seorang wanita berusia 33 tahun, membuat bayaran RM95,180 kepada suspek tetapi gagal mendapatkan bantuan yang dijanjikan.


Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, Selangor, malam tadi.

"Permohonan reman akan dibuat hari ini di Mahkamah Kajang bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata setakat ini tiga individu termasuk isteri kepada pelawak berkenaan telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun berhubung dakwaan kes penipuan bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah membabitkan suaminya.

Hussein dilapor berkata mangsa berjumpa dengan seorang wanita berusia 28 tahun pada Disember tahun lepas bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya dan ditawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan di mahkamah.

Mangsa kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank, namun gagal mendapatkan bantuan yang dijanjikan suspek.

-- BERNAMA