PETALING JAYA: Dua saksi pendakwaan kanak-kanak hari ini selesai memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini dalam perbicaraan kes ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin yang didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.


Ringkasan AI
  • Dua saksi kanak-kanak selesai memberi keterangan dalam prosiding tertutup di Mahkamah Sesyen, dengan pengecaman terhadap ibu Zayn Rayyan dan pengesahan melihat Zayn Rayyan kali terakhir pada 5 Disember 2023.
  • Setakat ini, 20 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang akan bersambung pada 11 Mac. Prosiding melibatkan saksi kanak-kanak berlangsung secara tertutup.
  • Ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, yang ditemukan mati pada 6 Disember 2023 dengan kesan kecederaan pada leher dan badan.


Ditemui pemberita selepas prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian berkata dua saksi pendakwaan kanak-kanak itu yang merupakan saksi pendakwaan ke-14 dan ke-15 selesai memberi keterangan dalam prosiding tertutup di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

"Hari ini dua saksi kanak-kanak itu telah selesai memberi keterangan untuk pemeriksaan balas oleh pihak peguam dan pemeriksaan semula bagi pihak pendakwa raya selepas mereka mula memberi keterangan pada Selasa (18 Feb).

"Setakat ini, sebanyak 20 saksi pendakwaan termasuk dua saksi kanak-kanak itu telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes ini," katanya yang turut memaklumkan perbicaraan itu berlangsung hampir dua jam bermula 10 pagi.

Kamarul Iman berkata dalam prosiding hari ini, dua saksi kanak-kanak itu yang berumur 10 tahun turut membuat pengecaman terhadap ibu kepada Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf, selain seorang daripadanya mengesahkan dia melihat Zayn Rayyan kali terakhir pada 5 Dis 2023.

Prosiding hari ini turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz manakala peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili pasangan suami isteri itu.

Perbicaraan bersambung pada 11 Mac ini.

Pada 17 Feb lepas, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya prosiding perbicaraan melibatkan dua saksi pendakwaan kanak-kanak itu berlangsung secara tertutup dan ditemani orang dewasa yang ditempatkan jauh daripada dua kanak-kanak terbabit serta pihak media tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah bagi mendengar perbicaraan.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira kedua-duanya berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya dan mangsa dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

-- BERNAMA