Ringkasan AI
- Ibu kepada Allahyarham Zulfarhan Osman, Hawa Osman, menyatakan keluarga mereka telah menderita selama lapan tahun selepas perbuatan kejam terhadap anaknya, dan peristiwa tersebut akan terus diingati sepanjang hayat.
- Mahkamah Tinggi pada 2021 memutuskan bahawa Zulfarhan meninggal dunia akibat didera dengan 90 tekapan seterika wap oleh lima penuntut UPNM, yang menyebabkan luka lecur pada badan mangsa.
- Hawa dan suaminya terus berjuang untuk mendapatkan keadilan bagi Zulfarhan, dengan suaminya sanggup menangguhkan pembedahan jantung untuk hadir ke mahkamah setiap kali perbicaraan berlangsung.
Hawa Osman, 62, berkata, dia tidak mampu melupakan apa yang berlaku meskipun dua daripada keluarga pelaku yang disabit salah kerana membunuh Zulfarhan menemuinya datang meminta maaf dan berharap dia tidak menyimpan dendam.
"Saya kata, saya tak berdendam cuma saya terkilan mereka tidak menceritakan perkara yang sebenar apa yang mereka dah buat ke atas Zulfarhan.
"Saya cakap setiap kali lepas solat saya maafkan muslimin dan muslimat termasuk la anak dia. Tapi hati ni akan kenang seumur hidup apa yang mereka dah buat.
"Sehingga kini tertanya-tanya siapa yang buat anak saya jadi macam tu... sehingga kini pun kami masih tak dapat terima apa yang berlaku walaupun lapan tahun dah berlalu," katanya dalam temu bual bersama Mingguan Wanita.
Pada 2021, Mahkamah Tinggi memutuskan sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada anggota badan Zulfarhan Osman telah menyebabkan kematian mangsa.
Kesan luka lecur itu adalah pada kategori tahap satu, dua dan tiga yang didapati dari pangkal leher sehingga ke kaki mangsa termasuk bahu, lengan, dada, perut, rusuk, belikat, betis, paha dan buku lali.
Hawa menambah, dia tidak pernah putus doa supaya kematian Zulfarhan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
"Setiap kali selepas solat (saya berdoa), saya (juga) minta kawan-kawan dan saudara-mara yang buat umrah atau haji mendoakan supaya arwah dapat pembelaan yang sewajarnya.
"Mati (nyawa) biarlah dibalas mati (nyawa)," katanya.
Katanya, perjuangan mereka sekeluarga tak akan pernah terhenti demi mendapatkan keadilan buat arwah Zulfarhan yang dipanggil Along, termasuk akan hadir ke mahkamah setiap kali kes anaknya didengari.
Malah, suaminya juga sanggup tidak melakukan pembedahan saluran jantung tersumbat kerana tidak mahu ketinggalan dan mendengar sendiri apa yang disebutkan di mahkamah.
"Suami sepatutnya perlu dibedah kerana ada saluran ke jantungnya tersumbat. Suami kata, dia tak mahu buat dulu pembedahan kerana takut terlantar berbulan-bulan, tak dapat bangun dan tak dapat mengikuti kes perbicaraan arwah kelak.
"Suami kata, biar selesaikan hal Along dulu. Lepas kesemua tuduhan ke atas enam tertuduh dikekalkan yakni gantung sampai mati, barulah dia mahu fikirkan kesihatannya," katanya. - Sinar Harian
