Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke perbincangan di Kabinet bagi menilai kesan banjir yang berlaku di seluruh negeri berkenaan, dan jumlah peruntukan mengikut keperluan di semua tempat yang terjejas.
"Apa yang akan kita lakukan, kita akan bincang dalam Kabinet tetapi RM10 juta telah saya keluarkan. Takut tak cukup, sebab itu kita akan tambah mengikut keperluan seluruh Sarawak," katanya pada sidang akhbar selepas melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di sini hari ini.
Semasa di Miri semalam, Abang Johari meluluskan tambahan peruntukan RM10 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi membantu mangsa yang terjejas banjir.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak termasuk pihak swasta yang tampil menghulurkan sumbangan kepada JPBN Sarawak.
Selain mengucapkan terima kasih kepada petugas daripada pelbagai jabatan dan agensi yang terus bekerja membantu mangsa banjir, beliau turut mengambil maklum wakil-wakil rakyat telah turun padang melawat kawasan dilanda banjir.
-- BERNAMA