KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) berharap perintah gaji minimum baharu yang bermula esok dapat dilaksanakan dengan cara terbaik.

Menyambut baik pelaksanaan perintah itu, Presidennya Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata UNI-MLC turut berharap usaha itu diselaraskan di seluruh negara bagi memberi manfaat kepada pekerja yang bergaji bawah RM1,700.

"Dengan pelaksanaan gaji minimum ini, sekurang-kurangnya pekerja-pekerja akan dapat merancang kehidupan dan ekonomi keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Shafie berkata UNI-MLC turut bersetuju dengan saranan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bahawa gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah.

Beliau berkata pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.

KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan perintah itu menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.

Majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.

KESUMA berkata langkah berkenaan bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.

-- BERNAMA