Ringkasan AI
- Kementerian Sumber Manusia berusaha meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig untuk mewajibkan pekerja gig mencarum dengan Perkeso.
- Hanya 26% daripada 1.16 juta pekerja gig mencarum secara sukarela di bawah SKSPS, dan RUU ini akan meningkatkan jumlah pekerja gig yang dilindungi.
- Foodpanda bersetuju menaja skim perlindungan percuma untuk lebih 8,000 penghantar barangan mereka, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan perlindungan pekerja gig.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata hal ini kerana di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ketika ini, caruman pekerja gig dibuat secara sukarela menyebabkan hanya 26 peratus daripada 1.16 juta pekerja gig di Malaysia mencarum.
"Apabila ada RUU Pekerja Gig ini, sudah tentu akan meningkatkan lagi jumlah orang yang boleh dilindungi sebab selepas ia dilaksanakan, pekerja gig ini wajib mencarum dan syarikat-syarikat pengendali wajib bekerjasama dengan Perkeso untuk menguruskan caruman secara automatik.
"Jadi kita akan terus mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat pengendali dan juga wakil pekerja gig supaya kita boleh capai hasrat membentang dan meluluskan terus RUU Pekerja Gig pada sidang Parlimen yang akan datang Jun nanti," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia Tan Ming Luk di Menara Perkeso di sini.
Sim berkata tahun lepas, di bawah SKSPS, hampir sejuta pencarum telah menerima manfaat daripada caruman mereka dan daripada jumlah itu, kira-kira 12 hingga 13 peratus merupakan pekerja dalam sektor pengangkutan barangan dan makanan iaitu e-hailing dan p-hailing.
"Tahun lepas juga daripada keseluruhan tuntutan bagi SKSPS ini, ada 4,758 kes pembayaran faedah mencecah RM24.2 juta dan ini merupakan jumlah besar. Bagi sektor pengangkutan barangan dan makanan sahaja, kita ada 1,535 kes tuntutan dengan pembayaran faedah hampir RM9 juta," katanya.
Sehubungan itu, Sim berkata bagi meningkatkan lagi jumlah pekerja gig yang dilindungi di bawah Perkeso, pihaknya giat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membolehkan caruman dilakukan kepada penjaja yang dilesenkan di bawah mereka.
"Tahun lepas, kita juga ada bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Komunikasi untuk membolehkan pemandu bas, bas sekolah dan teksi serta golongan artis dan penggiat seni menikmati manfaat perlindungan caruman," katanya.
Mengenai MoU itu, Sim berkata Foodpanda telah bersetuju untuk menaja kira-kira RM200,000bagi memberikan skim pelindungan secara percuma kepada lebih 8,000 penghantar barangan mereka.
Sementara itu, Tan berharap menerusi kerjasama yang dimeterai hari ini, Foodpanda akan dapat membina ekosistem yang tersusun dan menyokong yang mengimbangi fleksibiliti serta keselamatan untuk penunggang mereka.
"Ini bukan kali pertama Foodpanda mengambil langkah seumpama ini... dengan perkembangan ekonomi gig, penting untuk kami terus memberikan sokongan kepada penunggang kami dalam mencapai kehidupan yang mampan.
"Sehubungan itu, pada masa akan datang, Foodpanda akan terus meneroka cara baharu untuk menyokong penunggangnya, memastikan mereka mendapat pengiktirafan dan perlindungan yang layak," katanya.
-- BERNAMA
