PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus melaksanakan inisiatif KESUMA MADANI sempena perayaan Thaipusam tahun ini dengan menyediakan perkhidmatan tambahan serta reruai di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves dan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Pulau Pinang.

KESUMA dalam kenyataan memaklumkan kementerian itu turut menyediakan ruang rehat yang boleh menampung 700 pengunjung di Kuil Sri Subramaniar Swamy dan 500 pengunjung di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani.

Ruang rehat berkenaan akan beroperasi pada 11 Feb ini bermula 6 pagi hingga 6 petang.

"Ruang rehat khas juga disediakan kepada petugas barisan hadapan termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pekerja Alam Flora serta Majlis Perbandaran yang bertungkus lumus memastikan kelancaran perayaan ini.

"Langkah ini diambil bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat," menurut KESUMA.

Kenyataan itu memaklumkan seramai 300 sukarelawan akan ditempatkan di Kuil Sri Subramaniar Swamy dan 200 sukarelawan di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani bagi membantu pengunjung orang kurang upaya (OKU), warga emas dan melancarkan perjalanan perayaan.

Menurut KESUMA, antara kemudahan lain yang disediakan ialah saringan kesihatan, bilik penyusuan, khidmat nasihat peluang pekerjaan serta promosi latihan keselamatan.

"Kami harap inisiatif ini akan terus memberi manfaat kepada pengunjung Thaipusam serta membantu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan sosial, peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA