Ketika menekankan perkara itu, Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata aspek kecekapan dan prestasi sistem e-SelfAudit juga telah diuji menerusi projek rintis yang dilaksanakan ke atas 206 syarikat kerajaan di seluruh negara pada 18 Nov, 2024.
"Kesemua syarikat kerajaan yang terlibat telah pun mengemukakan maklum balas kepada Jabatan Audit Negara (JAN) walaupun dalam tempoh singkat.
"Ini menggambarkan sokongan dan komitmen tinggi oleh semua syarikat kerajaan terhadap usaha pemantapan tata kelola yang diperkenalkan," katanya dalam ucapan aluan di Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini, hari ini.
Majlis pelancaran Sistem e-SelfAudit bagi pengauditan hampir 2,000 syarikat kerajaan itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wan Suraya berkata JAN kini sedang menganalisis data-data yang diterima daripada 206 syarikat kerajaan berkenaan untuk pengauditan selanjutnya.
Beliau turut memberi jaminan data yang diperoleh dan dimuat naik dalam sistem itu adalah dilindungi kerahsiaannya di bawah subseksyen 8(3) Akta Audit 1957 iaitu maklumat yang diperoleh oleh JAN daripada mana-mana pihak bagi tujuan pengauditan tidak boleh didedahkan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
"Pegawai JAN juga tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan sebarang maklumat yang diperoleh akan disimpan selamat dalam pangkalan data JAN dan mematuhi Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854], Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024 dan Polisi Keselamatan Siber Jabatan Audit Negara 2022," katanya.
JAN akan melaksanakan pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat milik kerajaan bermula tahun ini berikutan peruntukan sebanyak RM200 juta pada tahun 2025.
-- BERNAMA