Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata sistem yang akan dilaksana sepenuhnya tahun ini bukan bertujuan menghukum penjawat awam, tetapi ia lebih bersifat progresif dan adil, kerana penilaian dilakukan secara bulanan berbanding kaedah pelaporan penilaian secara tahunan sebelum ini.
Beliau berkata sistem itu bersifat lebih objektif memandangkan prestasi perbelanjaan kementerian atau jabatan sebelum ini disumbangkan oleh waran sekatan oleh Kementerian Kewangan (MOF), namun ia tidak mencerminkan situasi sebenar perbelanjaan sesebuah agensi kerajaan.
"Penilaian DEEP adalah untuk menangani isu projek pembangunan yang lambat siap, sakit yang menjadi hambatan (halangan) kepada negara untuk rakyat menikmati projek-projek yang diluluskan sebelum ini. Jadi sistem ini diwujudkan untuk menilai kemajuan projek itu setiap bulan, dan pegawai pengawal (ketua jabatan) mesti beri perhatian," katanya pada sesi temu bual di sini hari ini.
Beliau mengakui wujud kelemahan dari segi pemantauan yang menyebabkan projek pembangunan kerajaan menjadi "gajah putih" dan tidak siap mengikut jadual.
"Contoh paling mudah, pada awal tahun kita bagi dia markah 100. Sekiranya ada projek yang di bawah seliaan kementerian (itu) yang sakit, akan ada pemotongan (markah ketua jabatan) dari 100 tinggal 98. Kemudian bulan seterusnya, turun lagi prestasi, mungkin potong lagi lima markah, dah tinggal 92 dan sebagainya.
"... tetapi keunikan DEEP ialah sistem itu memperkenalkan markah remerit bagi setiap penambahbaikan dan kepatuhan tatakelola yang dilaksanakan sebagai langkah mitigasi atau kawalan kepada kegagalan itu," katanya.
Beliau berkata jika ketua jabatan itu masih gagal, mungkin tidak ada kenaikan gaji tahunan, tidak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat atau dipindahkan selepas setahun tidak boleh melaksanakan tanggungjawab.
Wan Ahmad Dahlan berkata antara keunikan sistem ini ialah penilaian prestasi untuk ketua jabatan turut diambil dalam kalangan warga kerja termasuk kumpulan pelaksana.
DEEP yang menjadi kaedah baharu bagi menilai prestasi penjawat awam khususnya ketua jabatan dilaksanakan bermula 1 Januari lepas, berasaskan konsep demerit dan remerit, serta berteraskan tiga dimensi prestasi iaitu Generik (75 peratus), Fungsi (15 peratus) serta Tinjauan (10 peratus).
Sistem penilaian yang telah dijalankan secara rintis melibatkan 13 kementerian terpilih bagi menilai prestasi KSU untuk tempoh Januari hingga September 2024 agar prestasi ketua jabatan dan pemimpin perkhidmatan awam berada di tahap terbaik, sekali gus mempertingkatkan sistem penyampaian.
-- BERNAMA