KKM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan produk itu ialah Molly Care Night Cream dan Karisma Brightening Day Cream yang masing-masing mengandungi merkuri selain produk Ufora Advance Repair Solution kerana mengandungi hidrokuinon.
Turut disenarai ialah Pinkkiss Beauty Care Herbal Cream yang mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate manakala Pinkkiss Beauty Care Treatment Cream dikesan mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.
"Susulan itu, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM.
"Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," menurut kenyataan itu.
KKM-KOSMETIK 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
KKM memaklumkan penjual dan pengedar produk terlibat perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan kerana penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini.
"Hidrokuinon menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif manakala tretinoin mengakibatkan kulit menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
"Penggunaan betamethasone 17-valerate pula boleh mengakibatkan kulit menjadi nipis, iritasi serta berjerawat," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA