Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kempen ini merupakan inisiatif keempat di bawah siri kempen “S” KKM, selepas pelaksanaan “Perangi Gula” (War on Sugar), “Perangi Merokok” (War on Smoking), dan “Perangi Garam” (War on Salt).
“Selagi wujud stigmatization maka selagi itulah mereka yang mengalami ganguan dan cabaran dan mental health ini tidak akan bersedia untuk mendapat rawatan.
“Stigma dan diskriminasi yang wujud menyebabkan ramai pesakit mental enggan atau berasa segan mendapatkan rawatan profesional yang diperlukan. Persepsi ini perlu diubah supaya lebih ramai tampil untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kesihatan Mental 2025, hari ini.
Menurut statistik, Dzulkefly berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa sejuta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, manakala jumlah isu kesihatan mental dalam kalangan remaja meningkat dua kali ganda daripada 424,000 (8 peratus) pada 2019 kepada 922,000 (16.5 peratus) pada 2023.
Prevalens pemikiran untuk membunuh diri dan percubaan membunuh diri dalam kalangan remaja juga menunjukkan peningkatan.
Beliau berkata masalah kesihatan mental turut menyebabkan kerugian ekonomi bernilai trilion ringgit di peringkat global akibat ketidakhadiran pekerja (absenteeism) dan kehadiran tetapi tidak produktif (presenteeism).
Sehubungan itu, kementerian telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk kempen Let’s Talk pada 2018 serta Hentikan Stigma, Kesihatan Mental Milik Semua untuk meingkatkan kesedaran masyarakat.
Bagi meningkatkan literasi kesihatan mental, siri jelajah Minda Sihat telah diadakan di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Melaka dan Pahang.
Di bawah Belanjawan 2025, sejumlah RM24.6 juta turut diperuntukkan bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan mental serta meningkatkan kapasiti Pusat Kecemerlangan Kebangsaan untuk Kesihatan Mental.
