Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata bagi mencapai hasrat itu, KKM mengalu-alukan pandangan semua pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta mahupun agensi kerajaan yang berkaitan untuk menghasilkan inisiatif yang berkesan.
Beliau berkata data diperoleh pihaknya menunjukkan trend individu yang didiagnosis dengan penyakit buah pinggang kronik meningkat setiap tahun.
"Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang tahun...usaha sedia ada perlu dilipatgandakan memandangkan jumlah kes buah pinggang kronik dalam kalangan rakyat Malaysia yang sangat kritikal.
"Statistik terkini menunjukkan 50,000 individu dengan penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD) menjalani dialisis kronik pada tahun 2023 diikuti lebih 10,000 pesakit baharu memulakan dialisis setiap tahun dan dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2040," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan forum 'Living Well With CKD: Empowering Knowledge and Community Support' sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Dr Nor Azimi berkata semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan kesedaran mengenai penyakit buah pinggang berjaya disampaikan ke peringkat akar umbi.
Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) Dr T Thiruventhiran berkata pihaknya akan terus menyokong usaha KKM untuk membangunkan strategi berkesan mencegah, mengesan dan merawat pesakit buah pinggang.
"Mengatasi penyakit buah pinggang kronik memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi pelbagai sektor, jika bekerjasama kita akan dapat mencapai kemajuan dalam mengurangkan beban pesakit sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.
"NKF komited terus menyokong dasar kerajaan dan berganding bahu dengan semua pihak bagi meningkatkan tahap kesihatan buah pinggang di negara kita secara amnya," katanya.
Acara yang diadakan di Management and Science University (MSU) Shah Alam itu melibatkan dua sesi forum termasuk perkongsian pengalaman pesakit dan peranan pengamal perubatan, selain sesi perbincangan pihak berkepentingan mengenai langkah-langkah strategik menangani peningkatan penyakit itu di Malaysia.
-- BERNAMA
