KUALA LUMPUR:
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik di lebuh raya, terutama sepanjang musim perayaan.

Pengerusi PLUS, Datuk Mohammad Nasir Ab Latif, berkata jumlah pengguna lebuhraya tersebut telah meningkat sehingga dua juta sepanjang musim Tahun Baharu Cina 2025, sekali gus memerlukan pendekatan lebih efektif dalam pengurusan trafik semasa.

Menurutnya, tiga langkah utama dilaksanakan bagi mengawal aliran trafik termasuk pelaksanaan 25 lokasi Smart Lane dengan kerjasama PDRM, pengagihan trafik menerusi Jadual Perjalanan Digital MyPLUS-TTA, serta peningkatan kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R).

Selain itu, PLUS turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta St. John Ambulance bagi memastikan pengurusan insiden lebih pantas dan berkesan.

“PLUS komited menyokong objektif Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030, yang menyasarkan pengurangan 50% kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030.

“Bagi mencapai sasaran itu PLUS melaksanakan pelbagai inisiatif berasaskan Konsep 5E, merangkumi Kejuruteraan (Engineering), Penguatkuasaan (Enforcement), Pendidikan (Education), Tindak Balas Kecemasan (Emergency Response), dan Penilaian (Evaluation),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Apresiasi Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina di Persada Plus, di sini, pada Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Pada 2024, PLUS bersama PDRM dan JPJ telah melaksanakan 24 operasi penguatkuasaan, termasuk membanteras penyalahgunaan lorong kecemasan dan samseng jalanan.

Selain itu, 25 program advokasi keselamatan turut dijalankan, termasuk Persidangan Kenderaan Berat (HEVTEC) bagi meningkatkan kesedaran pengguna lebuh raya.

Sementara itu Mohammad Nasir berkata, pihaknya mengharapkan agar kerjasama dengan PDRM dan agensi berkaitan akan diteruskan sepanjang tahun bagi memastikan perjalanan lebih selamat dan lancar.