Ringkasan AI
- Graduan dalam bidang muamalat semakin mendapat perhatian dalam pasaran kerja seiring perkembangan pesat sektor kewangan Islam di Malaysia dan dunia. Muamalat merujuk kepada urusan kewangan, ekonomi, dan sosial berpandukan Syariah.
- Peluang kerjaya bagi graduan muamalat termasuk perbankan Islam, takaful, institusi zakat dan wakaf, serta konsultan kewangan Islam. Graduan boleh menjadi pegawai perbankan Islam, pegawai Syariah, perunding takaful, atau pengurus dana wakaf.
- Untuk berjaya, graduan perlu menguasai kefahaman Syariah, keterampilan komunikasi, kemahiran analitik, dan teknologi kewangan. Permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang muamalat dijangka terus meningkat.
Namun, masih ramai graduan yang tertanya-tanya, “Nak kerja apa lepas tamat pengajian dalam bidang muamalat?”
Apa Itu Muamalat?
Muamalat merujuk kepada aspek hubungan manusia dalam urusan kewangan, ekonomi, dan sosial yang berpandukan Syariah.
Graduan dalam bidang ini akan mempelajari hukum-hakam yang berkaitan dengan urusan kewangan Islam seperti perbankan, takaful (insurans Islam), pelaburan, zakat, wakaf, pengurusan kewangan Syariah dan seumpamanya.
Hala tuju kerjaya Graduan Muamalat
Jika ditekuni dengan teliti, terdapat banyak peluang kerjaya yang boleh diceburi oleh graduan muamalat, antaranya perbankan Islam, takaful, institusi zakat dan wakaf, konsultan kewangan Islam, dan banyak lagi.
Dalam sektor perbankan Islam, banyak peluang kerjaya yang ditawarkan kepada graduan muamalat.
Tugas utama bidang kerjaya ini adalah bagi memastikan operasi bank mematuhi prinsip-prinsip Syariah dan menawarkan produk kewangan Islam yang berdaya saing.
Para graduan boleh memulakan kerjaya sebagai pegawai perbankan Islam, pegawai Syariah, pengurus risiko Syariah dan pegawai semakan Syariah.
Peluang kerjaya yang lebih mencabar juga boleh diterokai oleh graduan muamalat yang berhasrat menimba pengalaman dalam sektor takaful.
Menjadi perunding takaful, pegawai pemasaran takaful atau mungkin lebih mencabar lagi sebagai pemilik agensi takaful antara yang sedang berkembang pesat hari ini dan menawarkan pendapatan lumayan dan insentif yang menarik.
Tanggungjawab mereka adalah menawarkan perlindungan kewangan yang selaras dengan prinsip Syariah kepada individu dan perniagaan.
Syaratnya mestilah berani, berkomitmen tinggi, bijak berkomunikasi dengan pelanggan dan mampu menawarkan khidmat yang telus.
Selain itu, bidang kewangan sosial adalah salah satu bidang kewangan Islam yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengamal industri kewangan masa kini. Bidang ini antaranya merangkumi institusi zakat dan wakaf.
Graduan muamalat boleh meninjau peluang kerjaya dalam sektor ini sebagai pegawai pengurusan kutipan dan agihan zakat, pengurus dana wakaf atau sebagai pegawai penyelidik Syariah.
Peranan ini penting dalam memastikan dana awam diuruskan dengan baik dan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Dalam ekosistem ekonomi dan kewangan global yang kian berkembang, termasuk dalam sektor kewangan Islam, bidang perundingan Syariah atau konsultan kewangan Syariah boleh dipertimbangkan.
Sebagai konsultan kewangan Syariah, penasihatan aspek pelaburan dan pengurusan kewangan yang patuh Syariah diberikan kepada syarikat dan individu.
Ini termasuk pelaburan dalam saham patuh Syariah dan instrumen kewangan Islam seperti sukuk.
Lazimnya, bidang penasihatan Syariah ini diceburi oleh konsultan pakar yang telah lama berkecimpung dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Maka, graduan muamalat disaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah di peringkat Sarjana dan jika berkemampuan di peringkat PhD di institusi pengajian tinggi yang menawarkannya.
Malah kelebihannya juga, graduan berpotensi ditawarkan jawatan pensyarah.
Ilmu, kemahiran dan keterampilan
Untuk berjaya dalam bidang muamalat, kemahiran dan keterampilan diri penting untuk dikuasai antaranya kefahaman Syariah, keterampilan komunikasi, kemahiran analitik dan kemahiran teknologi.
Kefahaman terhadap prinsip-prinsip Syariah yang berkaitan kewangan Islam misalnya membantu kecekapan pelaksanaan tugas dengan baik.
Secara spesifiknya, graduan muamalat perlu menguasai bidang asas Syariah seperti fiqh muamalat, usul al-fiqh dan qawa’id fiqhiyyah.
Jika graduan mempunyai ilmu-ilmu teknikal kewangan seperti perakaunan, audit, pengurusan risiko dan seumpamanya, ia merupakan satu nilai tambah yang menambat hati bakal majikan.
Selain aspek kecemerlangan ilmu, aspek-aspek kemahiran lain juga penting seperti kemahiran berkomunikasi dengan baik, terutamanya apabila berurusan dengan klien dan pihak atasan.
Komunikasi yang baik mungkin boleh menggambarkan budaya kerja positif dalam sesebuah organisasi. Malah mula berkecimpung dalam jual beli saham semasa di peringkat pengajian adalah satu kelebihan.
Pengalaman ini sudah pasti membuka ruang kebolehan untuk menganalisis situasi kewangan dan mencadangkan penyelesaian yang patuh Syariah.
Kemahiran-kemahiran ini dilengkapkan lagi dengan penguasaan dalam teknologi kewangan (fintech), memandangkan dunia kewangan Islam turut berkembang seiring dengan penggunaan teknologi digital.
Bidang muamalat menawarkan pelbagai peluang kerjaya yang luas dan menarik. Graduan perlu bijak memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh semasa pengajian untuk berjaya dalam industri ini.
Dengan perkembangan pesat sektor kewangan Islam, permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang muamalat dijangka terus meningkat.
Oleh itu, kepada graduan muamalat, jangan ragu-ragu – peluang kerja sentiasa terbuka luas. Persiapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dan terus melangkah ke hadapan untuk membina kerjaya yang cemerlang dalam bidang ini.
Dr Khairul Anuar Ahmad, Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) / Pensyarah Muʿāmalāt, Jabatan Syariah, FSU, Universiti Islam Selangor (UIS).
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.