SEPULUH tahun dari sekarang, Kerajaan Malaysia menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Malaysia menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035. Setakat Oktober tahun lalu, kapasiti RE Malaysia telah mencapai 28 peratus, dan tiada lagi loji kuasa arang batu baharu akan dibangunkan.
  • Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, dengan komitmen terhadap inisiatif 'ASEAN Power Grid' untuk memudahkan dan memaksimumkan potensi RE serta meningkatkan keselamatan tenaga. Ini termasuk menjadikan rantau ini sebagai hab tenaga hijau yang mampu menarik pelaburan antarabangsa.
  • Kerajaan memperkenalkan program seperti Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), Cross-border Electricity Sales for Renewable Energy (CBES RE), dan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM) untuk menyokong agenda peralihan tenaga. Sokongan dan kerjasama sektor swasta diperlukan untuk mencapai sasaran peningkatan RE.


Setakat Oktober tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kapasiti RE Malaysia telah mencapai 28 peratus dengan kemajuan teknologi dijangka memainkan peranan penting dalam pencapaian ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, tiada lagi loji kuasa arang batu baharu akan dibangunkan dengan kerajaan beralih daripada penggunaan arang batu secara berperingkat.

Sudah tentu, tempoh satu dekad bukanlah lama untuk kita melihat kejayaan Malaysia sama ada mencapai sasaran yang ditetapkan atau sebaliknya.

.

Begitu pun, hala tuju dan agenda yang digerakkan membuka jalan yang luas untuk Malaysia memastikan kelestarian alam sekitar dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang semakin berkurangan.

Langkah ini selaras komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris 2016 yang bertujuan mengehadkan pemanasan global kepada kurang 2° Celsius berbanding paras zaman praperindustrian.

Malaysia, antara 169 negara dunia yang telah sepakat untuk memastikan had pemanasan global sekurang-kurangnya tidak melebihi 1.5° Celsius dan suhu bumi diramal meningkat kepada 2.7° Celsius menjelang akhir abad ini.

Perjanjian Paris mencatat sejarah penting apabila ia berjaya dimeterai bagi membolehkan semua negara mengambil tindakan yang lebih tegas dalam memerangi perubahan iklim dan memperkenalkan adaptasi yang sesuai.

Kegiatan manusia, terutamanya aktiviti pembakaran sumber tenaga seperti arang batu, minyak, dan gas, menjadi pemacu utama dalam peningkatan suhu bumi, seterusnya melepaskan gas rumah kaca yang memburukkan lagi kesan pemanasan global.


Malaysia dan ASEAN

Tahun 2025 menyaksikan Malaysia menggalas tanggungjawab yang cukup besar iaitu sebagai Pengerusi ASEAN.

Krisis berangkai yang kita hadapi -- daripada konflik, kemelesetan ekonomi, ketidaksamaan yang semakin mendalam, hingga kesan ekstrem perubahan iklim -- menjadi cabaran yang sangat dirasai oleh banyak negara ASEAN.

Liputan hutan di ASEAN telah menurun kepada 46 peratus, manakala impak perubahan iklim berisiko mendorong 2.5 juta individu ke dalam kemiskinan menjelang 2030.

Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn ketika berucap pada Bengkel ASEAN mengenai Pembangunan Mampan 2025 baru-baru ini berkata, permintaan tenaga di rantau ini dijangka meningkat sebanyak 3.5 kali ganda dari tahap 2022 di bawah 'Baseline Scenario'.

"Untuk menampung lonjakan ini, infrastruktur elektrik yang selamat dan boleh dipercayai adalah penting.

"Visi utama ‘ASEAN Power Grid’ adalah amat penting untuk memudahkan dan memaksimumkan potensi RE serta meningkatkan keselamatan tenaga dengan memudahkan perhubungan rentas sempadan," memetik kenyataan beliau.

Foto BERNAMA

Peranan besar Malaysia di peringkat ASEAN dicerminkan oleh setiap kementerian yang terlibat termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) - memimpin usaha kerajaan dalam bidang RE.

Di Laos tahun lalu sebelum Malaysia mengambil 'baton' sebagai Pengerusi ASEAN, Fadillah sudah pun menyatakan komitmen negara terhadap inisiatif strategik 'ASEAN Power Grid' agar ia dapat dimeterai tahun ini bagi manfaat serantau.

Memetik BERNAMA, Fadillah berkata 'ASEAN Power Grid' bukan sekadar mengenai penyambungan sistem tenaga di darat dan dasar laut tetapi akan turut menjadikan rantau ini sebagai hab tenaga hijau yang mampu menarik pelaburan antarabangsa.

"'ASEAN Power Grid' akan mewujudkan satu komuniti tenaga serantau yang saling membantu dan dapat memperkukuh semangat ASEAN, seterusnya meningkatkan daya saing setiap negara anggota dalam menarik pelaburan asing," kata beliau.

Malaysia, antara negara ASEAN yang memiliki lebihan tenaga yang boleh dijadikan sebagai sumber. Ia termasuk di Sarawak, yang dilihat berpotensi untuk menjadi hab tenaga, bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi bagi rantau Asia Pasifik.


Penyertaan Industri dan Rakyat

Adakah pemain industri bersedia untuk beralih kepada penggunaan RE, dan rakyat akan menerima manfaat yang besar daripada sektor ini?

Mungkin segelintir pemain industri masih berada di atas pagar, sama ada untuk sepenuhnya beralih kepada RE atau menarik ‘hand brake’.

Ini memandangkan beberapa perkara perlu dipertimbangkan termasuk keterbatasan infrastruktur grid.

Bagi rakyat, mungkin wujud kebimbangan tentang impak sosial dan ekonomi bagi peralihan kepada tenaga rendah karbon.

Antara dilemanya adalah kehilangan pekerjaan dalam sektor bahan api fosil dan ketidaktentuan dalam pembangunan infrastruktur jaringan grid.

Tetapi ini yang dikatakan oleh Fadillah pada Oktober 2024:

"Kerajaan juga akan meningkatkan fleksibiliti grid dengan melabur dalam grid pintar, pendigitalan dan sistem penyimpanan tenaga dengan sasaran peningkatan fleksibiliti grid sebanyak 20 peratus menjelang 2035 bagi membolehkan integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui yang lebih besar."

Malah, PETRA pada September 2024 telah pun memperkenalkan program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Cross-border Electricity Sales for Renewable Energy (CBES RE) untuk menyokong agenda peralihan tenaga.

Dan, terbaharu kementerian ini dijangka memperkenalkan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM) yang membolehkan penggabungan ruang bumbung premis kediaman untuk penjanaan RE kepada pengguna hijau setempat.

Program ini akan mewujudkan nilai tambah serta peluang ekonomi baharu kepada pemain industri dan masyarakat setempat, sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga negara.

Perancangan kerajaan dan kementerian terlibat membuktikan Malaysia kini berada di landasan yang betul dalam usaha  memperkasa penggunaan RE.

Justeru, sokongan dan kerjasama sektor swasta diperlukan melalui inovasi bersama, ciptaan hijau dan perkongsian pengetahuan untuk mencapai sasaran peningkatan RE.


Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.