Kebangkitan Malaysia ke arah era baharu bukan sekadar sebuah cetusan idea, tetapi sebuah iltizam yang melangkaui batas politik, budaya, serta ekonomi.
Ia menjanjikan reformasi menyeluruh untuk mencipta sebuah negara yang maju, adil, dan inklusif.
Prinsip-prinsip Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Keyakinan, dan Ihsan yang menjadi teras kepada Malaysia MADANI adalah cerminan aspirasi nasional menyeluruh dan penuh makna.
Gagasan ini menuntut keberanian, kecekalan, dan tekad luar biasa daripada kerajaan untuk memacu perubahan, selain pada masa yang sama memerlukan kesatuan rakyat sebagai tulang belakang yang mendukung kejayaan visinya.
Malaysia MADANI bukan hanya milik kerajaan, tetapi impian setiap rakyat Malaysia – satu langkah bersama ke arah kemakmuran dan keunggulan yang dikecapi secara kolektif.
Tekad: Keberanian untuk Berubah
Kerajaan MADANI telah mempamerkan keberanian luar biasa dengan melaksanakan langkah-langkah reformasi komprehensif untuk memastikan perkhidmatan awam menjadi tulang belakang yang kukuh bagi pentadbiran negara.
Reformasi ini bukan sekadar penyelarasan struktur, tetapi menyentuh hati serta semangat setiap penjawat awam untuk berkhidmat kepada rakyat dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
Langkah Keberanian yang Diambil
1. Deklarasi Kuala Lumpur – Tekad Bersama Perkhidmatan Awam
Pada 24 November 2024, buat julung kalinya dalam sejarah negara, semua 13 Setiausaha Kerajaan Negeri menandatangani deklarasi yang menggariskan komitmen bersama untuk melaksanakan perubahan besar dalam perkhidmatan awam.
Langkah ini menjadi bukti bahawa kerajaan dan penjawat awam bersedia untuk menjadi perintis kepada era baharu pentadbiran yang lebih telus, cekap, dan mesra rakyat.
2. Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB)
Sehingga 17 Disember 2024, sebanyak 47 projek reformasi kerenah birokrasi telah berjaya dilaksanakan menjelang akhir 2024. Reformasi ini mempercepatkan proses kelulusan permohonan yang dahulunya mengambil masa berbulan-bulan kini diselesaikan dalam beberapa hari.
Ini adalah bukti bahawa kerajaan serius dalam meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
3. Patriotisme Sebagai Nadi Perkhidmatan
Usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penjawat awam melalui nyanyian lagu kebangsaan dan ikrar Rukun Negara yang bermula pada 24 September 2024 bukan sekadar formaliti, tetapi simbol penghayatan nilai kebangsaan yang tinggi. Langkah ini menyuntik rasa bangga dan semangat untuk terus berbakti kepada tanah air tercinta.
4. Demerit Performance Evaluation (DEEP): Penilaian yang Objektif
Kerajaan turut memperkenalkan sistem inovatif Demerit Performance Evaluation (DEEP) sebagai langkah untuk memastikan penilaian prestasi Ketua Jabatan dilakukan secara lebih adil dan menyeluruh.
• Melalui DEEP, setiap Ketua Jabatan diberikan markah penuh 100 peratus pada awal tahun. Sepanjang tahun, markah mereka akan dikurangkan sekiranya GAGAL memenuhi sasaran seperti melaksanakan projek pembangunan, menangani isu integriti, atau melaksanakan pusingan kerja.
• Namun, sistem ini juga memberi peluang untuk menaikkan markah jika pembaikan dilakukan, memastikan penilaian akhir pada Disember adalah adil dan berdasarkan prestasi sebenar sepanjang tahun.
• DEEP memastikan tiada lagi budaya “tunjuk rajin” pada akhir tahun, tetapi menggalakkan pemimpin sektor awam untuk mengekalkan prestasi konsisten sepanjang tahun.
Reformasi ini adalah manifestasi keberanian untuk merombak sistem lama dan membina satu kerangka baharu yang lebih teguh. Namun, keberanian ini tidak akan bermakna tanpa sokongan rakyat-rakyat yang berdiri teguh sebagai pendpkong transformasi.
Pencapaian: Kejayaan yang Membakar Semangat
Di sebalik usaha gigih kerajaan, pelbagai pencapaian telah diraih yang menjadi tanda aras kepada potensi sebenar Malaysia MADANI. Kejayaan ini tidak hanya mencerminkan keberkesanan langkah-langkah kerajaan, tetapi menjadi pemangkin semangat untuk terus melangkah ke hadapan.
1. Prestasi Ekonomi yang bagus
Malaysia telah mencatatkan peningkatan pelaburan digital bernilai RM254.7 bilion, mencipta lebih 159,000 peluang pekerjaan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2024.
Pelaburan daripada syarikat teknologi terkemuka seperti Microsoft (RM10.5 bilion), NVIDIA dan YTL (RM20 bilion), dan Oracle (RM27 bilion) adalah bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan global.
Prestasi ini disokong oleh kadar inflasi yang terkawal sehingga Ogos 2024 pada 1.9 peratus, peningkatan pendapatan bersih KWAP sebanyak 34 kali ganda kepada RM9.7 bilion, dan pengumuman dividen tertinggi oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 5.75 peratus, pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.
2. Reformasi Pentadbiran yang Membanggakan
• Peningkatan Integriti dan Akauntabiliti: Penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI pada 3 Oktober 2024 memperkukuh usaha memerangi rasuah dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah.
Bagitu juga meningkatkan penubuhan unit integriti di PBT dari 49 kepada 102 (peningkatan 35 peratus) dan telah melakukan rasionalisasi pejabat perwakilan, agensi penguatkuasa laut, memperkasa JIM ,JAKIM, HDC, MATRADE serta IKMA dan SKM.
• Mobilisasi Sumber Manusia: Telah laksanakan 'job rotation' di 10 kementerian dan 61 agensi. Begitu juga seramai 1,400 jururawat telah ditempatkan di hospital dan klinik, manakala 611 pegawai PDRM dimobilisasi untuk memperkukuh kesihatan dan keselamatan awam.
• Rasionalisasi Agensi: Rasionalisasi melibatkan 544 entiti badan berkanun dan Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) dilaksanakan untuk memastikan penggunaan sumber yang lebih cekap dan berkesan.
• Memperkukuhkan cadangan AKTA ILTIZAM kecekapan pentadbiran awam untuk dibentangkan di Parlimen.
• Melancarkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bermula pada 1 Januari 2025.
3. Kemajuan Teknologi dan Inovasi
Kerajaan juga telah melaksanakan program Accelerated Industrial Attachment for Competency Excellence (AICE), menghantar 21 pegawai untuk menerima latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Langkah ini menunjukkan kesediaan Malaysia untuk memanfaatkan teknologi terkini demi membina daya saing global.
Cabaran: Ujian kepada Tekad dan Kesatuan
Di sebalik pencapaian yang memberangsangkan kerajaan dan rakyat perlu mengharungi beberapa cabaran utama:
i. Penentangan terhadap Perubahan
Perubahan sering kali menimbulkan rasa tidak selesa, terutamanya kepada pihak yang terbiasa dengan sistem lama. Reformasi seperti pelaksanaan DEEP dan rasionalisasi badan berkanun memerlukan usaha lebih besar untuk mendidik dan meyakinkan semua pihak tentang manfaatnya.
ii. Jurang Kemahiran
Keperluan untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi menjadi cabaran besar. Namun, dengan inisiatif seperti AICE dan pelaburan dalam ekonomi digital, kerajaan bersedia menangani cabaran ini dengan tuntas.
iii. Kesabaran dan Persepsi Rakyat
Reformasi memerlukan masa untuk menunjukkan hasil, tetapi rakyat sering mahukan perubahan segera. Cabaran ini menuntut kerajaan untuk terus berkomunikasi secara telus dan menjelaskan matlamat jangka panjang reformasi kepada rakyat.
Harapan: Malaysia yang Lebih Cerah untuk Generasi Akan Datang
Malaysia MADANI adalah gambaran masa depan yang cerah, di mana setiap rakyat menikmati kesejahteraan, peluang, dan keadilan tanpa mengira latar belakang.
1. Kemajuan Teknologi untuk Semua
Melalui pelaburan teknologi dan program latihan seperti AICE, rakyat akan mendapat akses kepada pekerjaan berkualiti tinggi, meningkatkan taraf hidup mereka, dan menyumbang kepada daya saing negara.
2. Infrastruktur Pentadbiran yang Lebih Kukuh
Dengan langkah seperti pembangunan Kiosk Sentuhan MADANI, rakyat akan mendapat akses mudah kepada perkhidmatan kerajaan, menjadikan pentadbiran lebih mesra rakyat dan responsif.
3. Keadilan Sosial dan Ekonomi
Reformasi yang sedang dilaksanakan bertujuan merapatkan jurang sosial dan ekonomi antara bandar dan luar bandar, memastikan setiap lapisan masyarakat merasai manfaat pembangunan.
Bersama Membina Malaysia MADANI yang gagah
Malaysia MADANI bukan hanya sebuah seruan gagasan, tetapi sebuah janji untuk mencipta sebuah negara yang adil, progresif, dan inklusif.
Kejayaan janji ini memerlukan kesatuan tekad antara kerajaan dan rakyat - satu usaha kolektif yang memerlukan keberanian, kecekapan, dan kepercayaan.
Dengan semangat membara, tekad yang tidak pernah luntur, dan iltizam kukuh, Malaysia MADANI adalah harapan yang kini sedang subur menjadi kenyataan.
Bersama-sama, kita menuju masa depan yang lebih cerah, penuh dengan kemakmuran dan kegemilangan.
* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir JASA dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD)
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.