Konflik yang tiada penghujungnya ini bukan sahaja meragut banyak nyawa, malah memberi kesan mendalam kepada kehidupan seharian rakyat Palestin yang terpaksa menanggung penderitaan yang tidak terucap dengan kata-kata.
Sejak serangan berterusan 15 bulan lalu, lebih 47,000 rakyat Palestin terkorban akibat kekejaman rejim zionis.
Namun, Malaysia antara negara yang sentiasa mengambil tempat sebagai suara lantang di arena antarabangsa untuk mempertahankan hak-hak rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam memperjuangkan Palestin di peringkat global.
Dalam banyak kesempatan, beliau tidak pernah gentar untuk menyuarakan ketegasan Malaysia dalam menuntut hak rakyat Palestin untuk hidup merdeka di tanah air sendiri.
Sejak awal lagi, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah membawa isu Palestin ke peringkat tertinggi - menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menamatkan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin.
Malah, dalam beberapa sidang kemuncak antarabangsa, Perdana Menteri dengan jelas mengungkapkan bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri atau memberi laluan kepada ketidakadilan yang berlaku di Palestin.
Ini termasuk, Malaysia menyuarakan gesaan supaya Palestin diterima sebagai anggota ke-194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza.
![Foto BERNAMA](https://img.astroawani.com/2025-02/51738854488_freesize.jpg)
Bukan Sekadar Cakap, Tapi Tindakan
Perjuangan ini bukan hanya sekadar retorik. Malaysia juga tidak sekadar menonton dari jauh.
Sejak konflik tercetus di Palestin, Kerajaan Malaysia sudah menyalurkan lebih RM100 juta bantuan kemanusiaan kepada Palestin.
Pada 29 Januari lalu, Perdana Menteri berkata Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.
Usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.
Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan Malaysia dan Jepun berjaya mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berpandangan, komitmen yang ditunjukkan Perdana Menteri membuktikan negara tidak takut kepada mana-mana pihak untuk menunjukkan solidariti kepada Palestin.
Jelas beliau, usaha Malaysia membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza disifatkan sebagai permulaan yang sangat baik untuk dijejaki oleh negara lain dan kerjasama seperti ASEAN dalam melakukan langkah konkrit ke arah pembangunan semula Gaza.
"Walaupun pada hakikat sebagai sebuah negara, kita yakin mampu untuk melakukan lebih daripada itu.
"Kita yakin rakyat Malaysia akan menyumbang lebih banyak dan dalam jumlah yang akan membolehkan kita membina dan membangunkan jauh lebih banyak daripada sebuah sekolah, hospital dan masjid di bumi Gaza," katanya kepada Astro AWANI.
Muhammad Nadir menambah bagi memastikan usaha pembinaan semula Gaza berjalan lancar, elemen-elemen politik perlu dielakkan dan semua pihak termasuk Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri serta NGO perlu dilibat bersama.
![Foto REUTERS](https://img.astroawani.com/2025-02/61738854484_freesize.jpg)
Menyemarakkan Kesedaran di Peringkat ASEAN
Peranan Malaysia juga amat penting dalam konteks ASEAN, khususnya memanfaatkan Kepengerusian ASEAN pada tahun ini.
Ini termasuk mendesak negara-negara serantau untuk lebih peka terhadap nasib rakyat Palestin dan bersama-sama menuntut pengakhiran kepada penganiayaan yang berterusan.
Usaha ini tidak hanya memastikan bahawa Palestin tidak dilupakan, tetapi juga menyatukan negara-negara serantau dalam satu perjuangan untuk keadilan dan kemerdekaan.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar dalam lawatan kerja pertama beliau ke United Kingdom (UK) dan Eropah, baru-baru ini turut menekankan isu Palestin dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya, Keir Starmer di No. 10, Downing Street.
"Kami membincangkan penyelesaian bagi isu rakyat Palestin dan Gaza dengan (resolusi) muktamad untuk mereka mencapai penyelesaian dua negara.
"Namun, sebelum itu (perlu) gencatan senjata segera. Kami begitu optimis untuk memperoleh penyelesaian secepat mungkin," katanya.
Selain Malaysia, negara-negara ASEAN secara keseluruhan turut menyokong usaha untuk memperjuangkan kebebasan Palestin.
Beberapa negara ASEAN telah mengumumkan sokongan terhadap pendirian Palestin sebagai negara berdaulat dan menyokong proses damai antara Palestin dan Israel melalui dialog dan perundingan yang melibatkan pelbagai pihak.
Walaupun perjalanan untuk mencapai kebebasan penuh bagi Palestin masih panjang, usaha-usaha yang berterusan dari negara-negara ASEAN, memberikan harapan dan semangat kepada rakyat Palestin untuk terus berjuang.
![Foto REUTERS](https://img.astroawani.com/2025-02/61738854480_freesize.jpg)
Apa yang Kita Boleh Belajar?
Dengan segala usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, kita sebagai rakyat Malaysia perlu sama berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing.
Tidak hanya sebagai penonton, tetapi perlu menyebarkan kesedaran mengenai apa yang berlaku di Palestin dan terus memberi sokongan kepada usaha-usaha kemanusiaan yang dapat membantu rakyat Palestin.
Dengan adanya ketegasan seperti yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, kita perlu bersatu dalam perjuangan ini untuk memastikan keadilan, akhirnya ditegakkan.
Mari kita bersama-sama memberi sokongan kepada perjuangan ini, agar harapan untuk Palestin hidup bebas dan aman di tanah air mereka menjadi kenyataan.
“Palestin tidak pernah bersendirian, Malaysia sentiasa ada untuk mereka.”
* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)