BELANJAWAN 2025 yang diumumkan pada Oktober tahun lalu membawa berita yang amat signifikan, terutamanya buat dua negeri di Kepulauan Borneo, Sabah dan Sarawak.


Ringkasan AI
  • 1) Peruntukan Pembangunan Tinggi: Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan tertinggi, dengan RM6.7 bilion untuk Sabah dan RM5.9 bilion untuk Sarawak. 2) Kenaikan Pemberian Khas: Pemberian khas untuk Sabah dan Sarawak dinaikkan dari RM300 juta kepada RM600 juta untuk meningkatkan pendidikan, kesihatan, infrastruktur, dan perkhidmatan awam. 3) Komitmen Kerajaan: Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk pembangunan yang seimbang dan mampan di Sabah dan Sarawak, termasuk memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Ini selepas kedua-dua negeri tersebut menerima peruntukan pembangunan tertinggi, termasuk pemberian khas yang ternyata akan mampu memberikan impak besar terhadap transformasi sosial, ekonomi, dan infrastruktur.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukkan berjumlah RM6.7 bilion bagi pembangunan negeri Sabah manakala RM5.9 bilion lagi untuk pembangunan Bumi Kenyalang.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025, Oktober, tahun lalu.

Peruntukan yang besar ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Anwar dalam merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Borneo, malah membuka ruang yang lebih luas bagi rakyat Sabah dan Sarawak merasai nikmat pembangunan lebih seimbang dan menyeluruh.

Pemberian ini juga jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan kedua-dua negeri Borneo yang mempunyai keperluan pembangunan yang unik dan mendalam.


Peruntukkan pembangunan tertinggi, penting buat Sabah dan Sarawak

Jika dilihat daripada sudut geografinya, umum sedar bahawa Sabah dan Sarawak berdepan dengan cabaran besar dalam aspek bentuk muka bumi dan geografinya dan situasi ini sering menjadi penghalang dalam usaha pembangunan di kedua-dua negeri tersebut.

Kedua-dua negeri ini mempunyai kawasan yang luas, dengan banyak daerah terpencil yang terletak di kawasan berbukit, bergunung-ganang, dan dikelilingi hutan hujan tropika.

Sarawak yang jika dilihat daripada petanya, memiliki saiz yang sama dengan keseluruhan negeri di Semenanjung dengan keluasan melebihi 124 ribu kilometer (km) persegi manakala Sabah yang merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan 73,620 km persegi.

Keadaan ini nyata menyukarkan pembinaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, serta memperlahankan usaha untuk menghubungkan kawasan-kawasan pedalaman dengan pusat ekonomi utama.

Namun ini tidak sesekali bermakna kerajaan terus ‘lepas tangan’ dan membiarkan kedua-dua negeri ini terus berdepan kesukaran dalam aspek pembangunan.

Jika diamati, Kerajaan MADANI cakna akan ketidakseimbangan ini menyedari kepentingan untuk menangani cabaran tersebut dan telah melancarkan beberapa inisiatif bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan di Sabah dan Sarawak.


Kenaikan Pemberian Khas Sabah dan Sarawak, tertinggi sejak 1969

Salah satu perkembangan yang paling menarik dalam Belanjawan 2025 adalah cadangan kenaikan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak.

Sejak 1969, kadar pemberian ini tidak pernah dikaji semula, namun di bawah Kerajaan MADANI, kadar pemberian khas ini telah dinaikkan dengan jumlah yang signifikan.

Sebelum ini, Sarawak hanya menerima RM16 juta, manakala Sabah pula menerima RM125.6 juta, namun, mulai tahun 2025, kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah dicadang dinaikkan sekali ganda kepada daripada RM300 juta kepada RM600 juta, satu peningkatan yang sangat diperlukan kedua-dua negeri tersebut.

Pemberian Khas ini bertujuan memperkukuhkan lagi kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri, khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan perkhidmatan awam.

Langkah ini juga diambil sebagai usaha untuk memastikan kedua-dua negeri tersebut tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara, serta memberi peluang kepada rakyat Sabah dan Sarawak untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada September 2024 menyatakan bahawa, pembayaran khas interim kepada Sabah dan Sarawak sepatutnya dikaji setiap lima tahun sekali, namun Perdana Menteri membuat keputusan menaikkan jumlah itu lebih awal.

Fadillah yang juga ‘orang kuat’ dalam urusan hal ehwal Sabah dan Sarawak nyata menyambut baik usaha berterusan ini kerana usaha ini pastinya senada dengan langkah berterusan kerajaan dalam memastikan kesemua perkara melibatkan Sabah dan Sarawak tidak lagi ‘dianaktirikan’.

Bukan hanya sekadar pemberian peruntukan yang besar, malah isu-isu berbangkit yang lain yang tidak dapat diselesaikan sebelum pentadbiran ketika ini.

Kerajaan terus komited menyelesaikan segala tuntutan yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebagai contoh, merealisasikan hak dan tuntutan kedua-dua negeri ini berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sehingga kini masih berjalan di sebalik beberapa tuntutan telah berjaya direalisasikan.

Fadillah yang juga antara driving force dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) telah berjaya memandu beberapa langkah kerajaan dalam memenuhi tuntutan berkaitan dalam MA63.

Ternyata strategi yang berkesan, diatur sebaiknya dalam kepimpinan Kerajaan Madani ini akan menghasilkan sinergi yang lebih berkesan dalam memastikan Sabah dan Sarawak akan terus membangun seiring dengan kemajuan yang dicapai negeri-negeri di Semenanjung.


Usaha Kerajaan MADANI, jamin kesejahteraan dan kesamarataan buat semua

Komitmen berterusan ini membuktikan kepimpinan dalam Kerajaan Madani berusaha memastikan setiap lapisan masyarakat di Sabah dan Sarawak mendapat manfaat yang seimbang daripada peruntukan yang diberikan.

Pemberian khas yang ditingkatkan serta peruntukan pembangunan yang lebih besar ini bukan sahaja menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memajukan kedua-dua negeri ini, tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap potensi ekonomi dan sosial Sabah dan Sarawak.

Keputusan kerajaan nyata akan mampu memberi impak positif terhadap kedua-dua negeri ini.

Selain itu, Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pendidikan dan latihan di Sabah dan Sarawak.

Ini penting untuk membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda di kedua-dua negeri untuk memperoleh pendidikan yang berkualiti serta kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.

Dengan pembangunan infrastruktur yang lebih mantap, ia bukan sahaja akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, tetapi juga akan menarik lebih banyak pelaburan asing dan tempatan, seterusnya memperkukuh ekonomi negeri-negeri Borneo ini.

Secara tuntasnya, Belanjawan 2025 adalah langkah yang berani dan signifikan untuk memajukan Sabah dan Sarawak.

Dengan peruntukan pembangunan yang tertinggi dalam sejarah dan pemberian khas yang dinaikkan kepada RM600 juta, kedua-dua negeri ini berada di landasan yang lebih kukuh untuk mencapai kemajuan yang lebih seimbang dan mampan.

Keputusan kerajaan untuk meningkatkan kadar pemberian khas juga bukan sahaja merangsang ekonomi, tetapi juga memberi impak positif terhadap kehidupan rakyat Sabah dan Sarawak.

Dalam jangka panjang, ini akan mampu meletakkan kedua-dua negeri ini pada tahap yang lebih tinggi dalam pembangunan negara secara keseluruhan, membantu mereka mengejar pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.



* Syafik Shukri Jalil merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan Sarjana dari School of Art and Media, University of Brighton, United Kingdom.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.