Sememangnya tidak dinafikan penyaluran subsidi amat membantu golongan tertentu. Sebagai contoh, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2.78 bilion sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan pada Belanjawan 2025, meningkat berbanding RM2.6 bilion pada tahun lalu.
Langkah ini tentunya bukan sahaja meringankan beban golongan itu, malah menggalakkan produktiviti pengeluaran padi dan membantu menangani masalah sekuriti makanan dan sumber protein negara.
Namun, tidak semua pemberian subsidi terutama yang bersifat pukal mencapai objektifnya sehingga membebankan pula kewangan kerajaan.
Mengikut rekod pada 2023, kerajaan membelanjakan sejumlah RM81 bilion untuk pemberian subsidi bagi bekalan elektrik, petrol dan diesel serta pelbagai bekalan makanan. Angka ini melebihi peruntukan asal sebanyak RM64 bilion menerusi Belanjawan 2023.
Adakah pemberian subsidi secara pukal ini benar-benar sampai kepada golongan yang layak? Atau ia turut dinikmati warga asing yang tinggal di negara ini termasuk mereka yang ‘hidup’ secara haram di sini. Ini belum dikira kes ketirisan bahan api petrol dan diesel yang diseludup ke negara asing.
![Foto BERNAMA](https://img.astroawani.com/2025-02/71739322496_freesize.jpg)
Dianggarkan sebanyak RM10 billion daripada keseluruhan perbelanjaan subsidi yang berjumlah RM81 bilion itu turut dinikmati oleh 3.5 juta bukan warganegara.
Ini belum termasuk golongan yang disifatkan mahakaya atau kelompok T20 meliputi 35 peratus daripada kumpulan masyarakat menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai RM17.8 bilion mengikut data pada 2022.
Ia lebih tinggi berbanding kumpulan rakyat B40 yang merangkumi 24 peratus memanfaatkan subsidi terbabit, manakala M40 pula meliputi 41 peratus. Jika T20 tidak lagi diberikan subsidi petrol, diesel dan LPG, kerajaan boleh menjimatkan sebanyak RM15 bilion hingga RM17 bilion.
Menyedari hakikat ini, Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah berani dalam merasionalisasi subsidi yang dilaksanakan secara berfasa bagi mengurangkan beban kewangan negara tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
Langkah ini bukan bermaksud kerajaan menarik balik subsidi sepenuhnya, tetapi lebih kepada memastikan keadilan dalam pengagihan bantuan kewangan ini dan pada masa sama mengurangkan pembaziran sumber dan ketirisan.
Sejak 2022, pendekatan kerajaan mahu memastikan hanya rakyat yang layak dibantu, sementara warga asing tidak dibenar untuk terus menikmati subsidi dengan memperkenal beberapa mekanisme subsidi bersasar.
Tegas Anwar, biarpun mengambil keputusan tidak popular, tindakan kerajaan melaksanakan pelarasan tarif elektrik dan apungan harga barangan keperluan tertentu bukan untuk mendatangkan kesakitan atau penderitaan kepada rakyat, sebaliknya majoriti rakyat akan terus menikmati subsidi yang mereka patut miliki. Golongan kaya dan industri besar mesti membayar apa yang sepatutnya.
![Foto BERNAMA](https://img.astroawani.com/2025-02/71739323531_freesize.jpg)
Penyasaran subsidi elektrik yang diperkenalkan memberikan penjimatan besar sebanyak RM4 bilion setiap tahun. Di bawah skim semasa, hanya pengguna yang menggunakan lebih daripada 600 kilowatt-jam sebulan perlu membayar kadar penuh tanpa subsidi. Ini bermakna kira-kira 15 peratus daripada populasi yang berada di atas paras penggunaan ini akan terjejas, manakala 85 peratus lagi akan terus menikmati kadar subsidi.
Harga ayam pula tidak lagi dikawal sepenuhnya, sebaliknya ditentukan oleh harga pasaran. Langkah ini mampu menjimatkan kerajaan sebanyak RM1.2 bilion setiap tahun.
Berdasarkan subsidi diesel yang disasarkan terutama bagi sektor logistik, nelayan dan perkhidmatan pengangkutan awam. Ia dapat menjimatkan sehingga RM4 bilion setiap tahun.
Melalui inisiatif Belanjawan 2025, kerajaan berupaya untuk membanteras penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi diesel.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di dalam Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 memberitahu, pelaksanaan subsidi diesel bersasar dijangka memberikan penjimatan tahunan antara RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion kepada kerajaan, iaitu lebih tinggi daripada sasaran RM4 bilion yang diunjurkan pada tahun 2024.
![KPDN Perak berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi - Foto/fail/Astro AWANI](https://img.astroawani.com/2023-08/51692849933_freesize.jpg)
Malah, melalui penyasaran subsidi ini, ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan oleh sektor perniagaan tidak layak turut dapat dielakkan terutamanya dengan memperkenalkan diesel bersubsidi untuk nelayan, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 dan 2.0 bagi pengangkutan awam dan kenderaan logistik berkelayakan.
Ini terbukti sejak pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel bermula Jun 2024, penjualan diesel bersubsidi menurun sebanyak 30 peratus, menjimatkan lebih RM600 juta sebulan sepanjang tahun 2024 hingga kini.
Berdasarkan data ini, ia jelas menunjukkan keberkesanan rasionalisasi subsidi. Bagaimanapun, timbul kebimbangan adakah mekanisme dalam menentukan kumpulan rakyat yang layak dibantu adalah tepat dan adil.
Menurut Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr Noraina Mazuin Sapuan, kerajaan perlu membangunkan mekanisme pengukuran yang adil bagi mengenal pasti golongan individu atau kumpulan yang benar-benar layak dan memerlukan sokongan daripada subsidi ini.
Katanya, keperluan untuk membangunkan mekanisme pengagihan lebih adil perlu disegerakan dengan menggunakan data yang lebih tepat dan sistem pengesahan yang lebih ketat.
“Sebagai contoh, kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang membolehkan rakyat mendaftar dan mengemas kini maklumat mereka untuk memastikan mereka layak menerima bantuan.
“Walau bagaimanapun, keselamatan data yang dikongsi oleh rakyat perlu dijamin bagi mengelakkan data ini digunakan bagi tujuan jenayah terutama melibatkan jenayah scammer,” katanya.
Pembangunan data ini perlu segera sedia digunapakai terutamanya sebelum penyasaran subsidi petrol RON95 yang dicadangkan untuk dilaksanakan pertengahan tahun ini.
Pengelasan golongan 15 peratus atau T15 yang tidak layak menerima subsidi bahan api RON95 perlu segera ditakrifkan kerana mereka perlu membayar kadar harga pasaran semasa manakala yang lain mengikuti harga subsidi.
* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)