KITA sering disajikan slogan “toleransi dan hormat-menghormati” bagi meraikan kemajmukan agama, budaya, dan adat di Malaysia.

Namun, hakikatnya, segelintir pihak tampak cekap memperjuangkan isu sensitif, tetapi tidak apabila menyentuh isu berkaitan agama atau umat Islam.

Apabila golongan Muslim menegur atau mengkritik, mereka pula pantas dilabel “terlalu sensitif,” “kolot,” dan “tidak terbuka.”

Ironi, bukan? Lebih memeranjatkan apabila hampir 65 peratus penduduk Malaysia beragama Islam (dengan hampir 90 peratus daripadanya memegang teguh kepada Islam sebagai teras kehidupan mereka).

Persoalannya, adakah wajar sensitiviti majoriti ini kerap dipandang sebelah mata atau diperlekeh?

Asas Komunikasi – Fahami Kumpulan Sasar Terlebih Dahulu: Prinsip terpenting dalam komunikasi adalah mengenali kumpulan sasar.

Jika seseorang berhasrat menyampaikan mesej, beriklan, atau menjalankan perniagaan di Malaysia, sudah tentu perlu diteliti terlebih dahulu budaya, pegangan majoriti, serta norma masyarakatnya.

Namun begitu, wujud pula segelintir pihak yang bertindak seolah-olah ‘merekalah pakar segala-galanya’, lalu menentukan definisi sendiri tentang apa yang dibolehkan dan tidak. Apabila ditegur, mereka pula bertindak seakan terperanjat – malah ada yang kononnya ‘terpaksa akur’ pada kehendak umat Islam.

Ironinya, di sebuah negara bermajoriti Muslim, sering pula sentimen golongan Muslim pula diperlekeh dan dilakarkan sebagai ‘menyusahkan’.

‘Ham & Cheese’ – Kontroversi Sandwic atau Kekeliruan Definisi?: Terbaharu, sebuah universiti awam menjadi tumpuan apabila sebuah kedai serbaneka terkenal di premis berkenaan menawarkan sandwic “ham dan cheese.”

Ada pihak yang mempersoalkan mengapa perkara ini perlu diperbesarkan—mungkin mereka terlupa bahawa jenama kedai yang sama pernah terpalit kontroversi sebelum ini, termasuklah insiden penjualan stoking berunsurkan kalimah “Allah.”

Jika benar pengalaman lampau telah dijadikan teladan, bukankah sepatutnya peniaga tersebut lebih peka dalam pemilihan istilah untuk produk baharu?

Namun demikian, insiden terbaharu ini seolah-olah mengesahkan bahawa soal sensitiviti masih belum menjadi keutamaan pihak berkenaan.

Sejurus selepas perkara ini mendapat publisiti, seorang ahli politik bukan Islam mencuri tumpuan dan mengeluarkan “kuliah singkat” berhubung definisi “ham,” dengan kenyataan istilah tersebut merujuk kepada kaedah penyediaan makanan dan bukan semestinya daging khinzir, seolah-olah memperkecilkan sentimen masyarakat Islam.

Walaupun penjelasan teknikal beliau tidaklah salah sepenuhnya, realitinya di Malaysia, atau bahkan di luar negara, perkataan “ham” secara umumnya tetap dikaitkan dengan daging khinzir.

Kita juga harus berpijak di bumi nyata—tidak semua orang arif tentang istilah kulinari Barat, lebih-lebih lagi dalam kalangan Muslim yang sememangnya sensitif terhadap khinzir.

Persoalannya, adakah wajar melabel Muslim sebagai “terlalu cerewet” hanya kerana istilah “ham”?

Sebagai perbandingan yang mungkin sedikit menyindir, bayangkan sahaja jika seseorang mencuba memperkenalkan “beef tofu” dalam komuniti majoriti penganut agama Hindu?

Tidakkah ini bakal menimbulkan kontoversi dan mempersendakan sentimen komuniti berkenaan?

Penipuan Label Halal yang ‘Tersembunyi’: Lebih mengejutkan, sandwic ham & cheese berkenaan dikatakan memaparkan logo Halal yang tidak diiktiraf JAKIM.

Ini bukan sekadar “kecuaian bahasa” – sebaliknya satu bentuk penipuan terang-terangan.

Menjual produk dengan dakwaan Halal tanpa kelulusan sah, bukankah itu menyalahi undang-undang?

Jika kejadian serupa berlaku terhadap komuniti vegetarian atau vegan – di mana produk dilabel ‘bebas daging’ tetapi sebenarnya berasaskan haiwan – bayangkan kemarahan yang bakal tercetus.

Namun, apabila melibatkan pengguna Muslim, naratifnya serta-merta bertukar menjadi “Muslim terlalu sensitif.”

Akhirnya, isu besar tentang “penipuan terhadap pengguna” terus tenggelam, seolah komuniti Muslim pula membesar-besarkan isu kerana kononnya tidak memahami istilah ‘ham.’

Sepatutnya pihak premis bisnes berkenaan yang perlu lebih sensitif kepada kumpulan sasar yang majoritinya komuniti Muslim. 

Komedi Celupar - Mempersendakan Konsep ‘Iman’ sehingga ‘MuHAMmad’ Jadi Bahan Ejekan: Seolah-olah kontroversi berkaitan makanan masih belum mencukupi, muncul pula seorang pelawak Melayu yang digelar ‘progresif’ dan gemar menyelitkan unsur sinis terhadap konsep ‘Iman’, kononnya atas tiket kebebasan seni.

Kemudian, ada pula penyokong bukan Islam yang menambah garam ke luka dengan mencadangkan, kalau benar “ham” itu begitu dibenci, eloklah jangan digunakan nama “MuHAMmad.”

Mungkin mereka terlupa — atau sengaja buat-buat lupa — bahawa Islam bukan sekadar pegangan individu, malah menjadi tunjang kehidupan majoriti rakyat negara ini.

Persoalannya, adakah mereka benar-benar tidak memahami keutamaan sensitiviti agama, atau sedang mencuba kaedah baharu untuk meraih perhatian umum?

Dalam senario sebegini, apabila umat Islam menyuarakan teguran, laju sahaja muncul laungan “kebebasan bersuara” seolah-olah orang Islam tidak berhak berpendapat.

Anehnya, pihak lain pula bebas mengkritik dan mempersenda pelbagai perkara tentang Islam atau komuniti Muslim.

Apabila Muslim cuba memberi reaksi balas, mereka segera dilabel “ekstremis”, “konservatif” atau “tidak toleran.”

Di manakah semangat ‘kebebasan bersuara’ yang kononnya dijunjung tinggi itu?

Jika benar prinsip kebebasan bersuara menjadi teras, tidakkah wajar pandangan balas Muslim diterima dengan dada terbuka, bukannya terus dihentam dengan pelbagai gelaran negatif?

Ancaman terhadap pelawak dan keluarga sememangnya salah, tetapi jangan ketepikan isu utama: Tidak dapat dinafikan, sebarang ugutan atau ancaman fizikal terhadap pelawak terbabit sememangnya menyalahi ajaran Islam dan tidak boleh diterima.

Majoriti Muslim juga menolak perlakuan melampau sedemikian, terutamanya jika nyawa diancam.

Namun, kita tidak boleh menafikan betapa kes terpencil sebegini kerap dijadikan alasan untuk mengalihkan perhatian daripada permasalahan sebenar—iaitu penipuan logo Halal serta sikap sesetengah pihak yang selamba mempersenda hukum Islam dan komuniti Muslim.

Apabila umat Islam tampil menegur, termasuk melalui hujah-hujah berhemah, mereka dicop sebagai ‘ganas’.

Akhirnya, isu pokok yang lebih besar, iaitu penyalahgunaan sijil Halal dan mempersenda dan menghina agama, diketepikan begitu sahaja.

Secara realitinya, Islam tidak pernah menutup ruang untuk perbezaan pendapat atau kritikan membina.

Malah, ribuan ulama, cendekiawan, dan intelektual Muslim di seluruh dunia giat berbincang dan bertukar pandangan tentang pelbagai aspek agama.

Namun, apabila kritikan mula menjurus kepada penghinaan hukum Islam atau memperolok-olokkan nama Nabi, itu jelas bukan lagi wacana ilmiah – ia lebih kepada provokasi.

Lebih menghairankan, apabila umat Islam bangkit mempertahankan maruah agama, mereka pula dituduh ‘tidak terbuka’. Ironinya, sensitiviti agama lain jarang pula menjadi sasaran ‘jenaka’ sebegini.

Muslim ‘Liberal’ dan ‘Konservatif’: Dua Sisi Sama? Dalam perkembangan semasa, sesetengah individu mendakwa diri sebagai ‘Muslim liberal’ konon-kononnya demi memodenkan Islam.

Malangnya, ada yang terlalu ghairah dengan pandangan peribadi hingga tergamak meremehkan elemen asas dalam agama sendiri.

Perlu ditegaskan, Islam sudah terang lagi bersuluh dengan rukun dan prinsip kukuh.

Ya, memang terdapat kepelbagaian fiqh, namun ia tidak sampai menidakkan hukum hakiki yang disepakati jumhur ulama.

Kalau benar mahu ‘mencipta kelainan’, bukankah lebih wajar menuntut ilmu daripada guru bertauliah, bukan hanya bergantung pada carian internet atau gerak hati semata-mata?

Menggali ilmu itu amat digalakkan, tetapi berpada-pada; jangan sampai kebebasan berfikir dijadikan topeng untuk memperlekehkan syarak.

Hormat-Menghormati, Bukankah Ia Tuntutan Bersama? Sering kita dengar pepatah, “hormat orang kalau mahu dihormati.”

Namun, dalam konteks Islam, prinsip asas ini nampaknya kerap diabaikan oleh segelintir pihak.

Mereka menuntut umat Islam agar lebih “terbuka” dan kononnya meraikan kebebasan, tetapi terlupa bahawa Muslim turut mempunyai maruah dan batas akidah yang wajib dipelihara.

Anda mahu berniaga di Malaysia? Sudah tentu menghormati hukum halal-haram yang dipegang majoriti pelanggan adalah tindakan paling logik.

Jika niat anda sekadar mahu bergurau, bukankah lebih bijak memastikan ia tidak merendahkan elemen suci yang dianuti jutaan individu?

Tegasnya, jangan buat kepada orang lain apa yang anda tidak mahu diperlakukan ke atas diri sendiri—prinsip mudah, tetapi masih ada yang bersikap selektif dalam mempraktikkannya.

Pendek kata, Jangan ‘Main Api’ Jika Tidak Mahu Terbakar: Di era digital yang serba pantas, mereka yang gemar mempersenda Islam wajar memikirkan kesan setiap kata dan tindakan.

Konon mahu tampil berani dan ‘terbuka fikiran’, tetapi realitinya, mereka hanya mencetuskan ketegangan baharu.

Apabila umat Islam bangkit memberi teguran, pantas pula dilabel sebagai ‘penindas’.

Ironi ini semakin nyata apabila ada yang berteriak soal “kebebasan bersuara,” tetapi enggan menerima hakikat bahawa kebebasan itu juga datang bersama tanggungjawab dan kritikan balas.

Malah, kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk menghina, apatah lagi menipu, seperti menyalahgunakan logo Halal yang jelas menjejaskan kepercayaan pengguna.

Lebih penting, kita perlu ingat bahawa Islam merupakan tunjang kehidupan majoriti rakyat negara ini.

Memandang remeh hukum-hukumnya hanya akan menyalakan api kemarahan dan menebarkan rasa tidak senang antara kaum dan agama.

Jika benar kita mendukung kepelbagaian, tunjukkanlah rasa hormat yang tulus dan saksama. Usah sekadar mendabik dada bercakap soal toleransi, sedangkan sensitiviti umat Islam dibiarkan diinjak.

Berkomunikasilah dengan akal budi—fahami sesitiviti kumpulan sasar, gunakan kata yang sesuai, dan elakkan sebarang unsur penipuan atau penghinaan.

Akhir sekali, sebelum menuding jari, tepuklah dada tanya selera: Adakah kita serius mahu mengejar keharmonian?

Pastikan penghormatan terhadap agama tidak dipandang ringan. Jangan sampai isu-isu kecil, seperti istilah “ham & cheese” atau gurauan melampaui batas terhadap nama Nabi, akhirnya menjadi api dalam sekam yang merosakkan perpaduan.

Walaupun anda mungkin kurang bersetuju dengan pendirian umat Islam, asas empati wajar dikekalkan.

Sedikit kepekaan dan kesopanan berbahasa tidak akan memudaratkan, malah inilah kunci keamanan serta keharmonian: saling memahami, saling menghormati, dan paling mustahak, berlaku jujur dalam setiap tindak-tanduk.


* Penulis ialah Presiden Public Relations and Communications Association (PRCA) Malaysia

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.