Ringkasan AI
- Seorang kontraktor, Mohamad Syahril Md Aziz, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang ejen perumahan, Abdullah Abdul Rahman, dengan menggunakan kayu pada 12 Februari lalu di Pasir Tumboh.
- Tertuduh mengaku tidak bersalah, dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
- Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan syarat ketat supaya tidak mengganggu saksi sepanjang perbicaraan, dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Mac.
Tertuduh, Mohamad Syahril Md Aziz, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Abdullah Abdul Rahman, 45, dengan menggunakan sebatang kayu di tapak tangki Taman Desa Wangi, Pasir Tumboh pada jam 10.45 pagi, 12 Februari lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Marini Mohamad yang menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Leftenan Kolonel (B) Azhar Ahmad, merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga selain menjaga bapanya yang sakit strok.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Zulkifli membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat ketat iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi sepanjang tempoh perbicaraan.
“Jika syarat itu dilanggar, jaminan boleh ditarik balik serta-merta,” ujarnya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Mac depan bagi serahan dokumen.
Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan sebelum dibebaskan dari tahanan. - Sinar Harian
