Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kedua-dua pihak telah memeterai MoU yang memfokuskan kepada kerjasama dalam aspek perlindungan pengguna serta pemantauan dan pemeriksaan pasaran, bersempena dengan lawatan rasmi dua hari Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, ke Malaysia yang berakhir semalam.
"Kewujudan kerjasama ini dan penubuhan jawatankuasa ini merupakan langkah tepat, yang akan memberikan faedah dan peluang kepada kedua-dua negara dalam berkongsi amalan terbaik, kepakaran, pengalaman, serta pengetahuan untuk penambahbaikan dasar dan pelaksanaan program dalam bidang yang telah dipersetujui," katanya dalam kenyataan hari ini.
MoU itu telah ditandatangani oleh Armizan bersama bersama Menteri Perdagangan Turkiye Prof Dr Omer Bolat, semalam. Majlis pertukaran dokumen MoU turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Armizan berkata jalinan kerjasama rasmi itu adalah kesinambungan daripada perbincangan dan usaha rintis yang telah disepakati bersama Menteri Perdaganan Turkiye semasa lawatan kerjanya ke Turkiye pada September tahun lepas.
"Melalui MoU ini, kedua-dua negara akan mendapat manfaat termasuklah penerokaan kerjasama untuk mendalami aspek standardisasi keselamatan barangan, pendekatan pendigitalan serta pengumpulan data dan analitik dalam pelaporan kepenggunaan dan harga barangan.
"Ini meliputi kaedah pengurusan aduan serta mekanisme pemantauan harga barang dan perkhidmatan," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)