Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 18 tahun dalam serbuan yang dilakukan kakitangan kementerian berkenaan sekitar pukul 12.20 tengah hari.
"Maklumat awal mendapati semua kasut itu disyaki menggunakan cap dagang tidak sah dan dijual setiap hari dalam dua syif iaitu pada pukul 9.00 pagi dan 5.00 petang.
"Wakil pemilik cap dagang juga telah membuat pengesahan awal dan kesemua kasut itu disita bersama dokumen perniagaan dan invois yang berkaitan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
Selain itu, Kamalludin berkata KPDN memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti berkenaan.
Beliau berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat berhubung salah laku peniaga di mana-mana cawangan KPDN berdekatan bagi membanteras aktiviti itu daripada terus berlaku.
-- BERNAMA
