Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan berkenaan dilakukan sekitar 2.30 petang hasil aduan orang awam.
"Hasil semakan memdapati sebanyak 126 unit minyak masak botol 5kg dan 37 unit minyak masak botol 1kg disyaki telah dijual sebelum ini oleh pemilik premis melebihi harga ditetapkan kerajaan.
"Harga ditawarkan premis itu bagi minyak masak jenama Saji jenis botol 1kg dan 5kg sekitar RM7.40 serta RM31.00. Manakala jenama Seri Murni dan Kuali jenis botol 5kg, masing-masing dijual pada harga RM31 serta RM31.70. Jenama Buruh jenis botol 1kg pula dijual dengan harga RM7.50," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kamalludin berkata harga berkenaan melebihi harga maksimum runcit minyak masak tulen kemasan botol yang ditentukan oleh Pengawal di bawah Perintah Kawalan Harga dan AntiPencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2023, iaitu RM6.90 bagi jenis botol 1kg dan RM30.90 bagi jenis botol 5kg.
Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kegiatan tidak bermoral itu.
"Masyarakat dan pengguna seharusnya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat berhubung aktiviti tidak bermoral itu. Sebarang aduan boleh dibuat di portal [email protected] dan aplikasi Whatsapp di talian 019-8488000," katanya.
-- BERNAMA