Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata hasil serbuan ini merupakan rekod tertinggi dalam aktiviti ‘decanting’ sebanyak RM1.6 juta. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut disyaki menjalankan urus niaga membekal dan mengedarkan LPG kepada pemborong berlesen.
Beliau menjelaskan bahawa sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi konvensional dengan memindahkan LPG menggunakan ais, yang turut ditemui semasa serbuan ke atas lori bonded. Taktik ini menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan aktiviti tersebut kerana ia dilakukan di dalam badan lori bonded.
Sindiket ini menggunakan lori bonded untuk mengangkut tong LPG bersubsidi berkapasiti 14kg sebelum memindahkan kandungannya ke dalam tong LPG 50kg yang tidak bersubsidi untuk dijual kepada pasaran industri. Susulan itu KPDN menyita lebih 4,000 tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg serta merampas 17 lori. Turut disita ialah peralatan dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut.
‘KPDN Selangor mengesyaki bahawa aktviti penjualan LPG 50kg telah dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran sebenar.
‘Jika tidak silap saya harga sekarang RM220 satu tong LPG 50kg, dan pihak sindiket menjual RM190 atau lebih rendah lagi daripada harga tersebut,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB)1961 bagi mengenal pasti individu dan syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut dan berpotensi kesalahan disiasat di bawah Seksyen 21 AKB 1961 iaitu memilki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan.
Hasil serbuan tersebut, seramai 21 lelaki telah ditahan, termasuk empat warganegara Malaysia. Salah seorang daripada mereka berusia sekitar 50-an dan dipercayai bertanggungjawab ke atas aktiviti di premis berkenaan. Baki 17 individu yang ditahan terdiri daripada warga asing, iaitu tiga dari Myanmar, tiga dari Sri Lanka, dan lapan dari India.
