PUTRAJAYA: Enam lelaki, termasuk lima warga asing berusia 30-an ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi di Taman Semenyih Jaya, Semenyih, Selangor semalam.


Ringkasan AI
  • Enam lelaki, termasuk lima warga asing, ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan minyak masak bersubsidi di Semenyih, Selangor.
  • Serbuan oleh KPDN mendapati premis tersebut digunakan untuk memindahkan minyak masak bersubsidi ke tangki IBC untuk dijual semula kepada pihak industri.
  • KPDN menegaskan akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan untuk mencegah penyelewengan barang kawalan bersubsidi.


Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata serbuan pada 4 petang itu, mendapati premis itu menjalankan aktiviti pembinaan dan dijadikan stor bagi memindahkan minyak masak bersubsidi.

"Premis itu dijadikan tempat bagi memotong bungkusan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram (kg) sebelum dipindahkan ke tangki jenis intermediate bulk container (IBC), dipercayai untuk dijual semula kepada pihak industri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata serbuan turut merampas empat unit tangki IBC mengandungi 4,168 kg minyak masak, kotak, plastik minyak masak peket yang telah dipotong dan peralatan digunakan bagi aktiviti itu, dianggarkan bernilai RM40,000.

Serbuan berkenaan dilakukan hasil risikan tiga bulan, dan siasatan terhadap individu yang ditahan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan. Sementara itu, syarikat yang terlibat sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"KPDN menegaskan akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman memaklumkan statistik KPDN menunjukkan sebanyak 94 kes berkaitan minyak masak dikesan di seluruh negara melibatkan rampasan 104,447 kg minyak masak bernilai RM109,000 menerusi pelaksanaan OP TIRIS 3.0 setakat 28 Feb.

"Tindakan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR, dilancarkan pada 19 Okt 2024 bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan aduan berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi menerusi WhatsApp di 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, pusat panggilan KPDN 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA